DUNIA > BERITA

PROGRAM SENAMAN SESUAI PERLU BAGI TANGANI RISIKO SERANGAN JANTUNG BERULANG - PAKAR

27/04/2024 08:22 PM

Daripada V.Sankara

BUDAPEST (Hungary), 27 April (Bernama) -- Meskipun rawatan perubatan semakin maju, sebahagian besar pesakit mengalami satu lagi serangan jantung atau kesan buruk serius dalam tempoh yang singkat, biasanya antara dua hingga tiga tahun, demikian menurut pakar rehabilitasi jantung dari Malaysia.

Profesor Madya Dr Hashbullah Ismail dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata perkara ini menonjolkan keperluan mendesak terhadap rehabilitasi jantung secara menyeluruh bagi memerangi risiko residual dengan berkesan dan meningkatkan keberkesanan keseluruhan hasil rawatan.

“Kira-kira satu pertiga pesakit berisiko mengalami satu lagi serangan jantung atau kesan buruk dalam tempoh dua hingga tiga tahun tanpa mengira jenis ubat atau regimen rawatan mereka.

“Oleh itu, rehabilitasi jantung memainkan peranan penting dalam mengurangkan komplikasi dan melengkapkan rawatan keseluruhan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja mengenai Senaman dan Rehabilitasi Jantung semasa Persidangan Sains Pelajar Antarabangsa ke-24 (ISSC) yang berlangsung di Universiti Sains Sukan Hungary (HUSS) dari 24 hingga 26 April. 

Profesor terkemuka dari Kesatuan Eropah dan Malaysia turut menghadiri program itu serta membentangkan hasil penyelidikan masing-masing bersama-sama Vanitha Gopalakrishnan, yang merupakan Kaunselor Kedutaan Besar Malaysia di Hungary.

Risiko residual merujuk kepada bahaya yang berlanjutan atau potensi komplikasi yang berterusan meskipun selepas rawatan atau intervensi asal.

Dalam konteks rehabilitasi jantung, risiko residual merangkumi ancaman berterusan isu kardiovaskular seperti serangan jantung atau angin ahmar meskipun pesakit menerima ubat-ubatan atau menjalani prosedur perubatan. 

Dalam pembentangannya, Dr Hashbullah menggariskan peranan penting intervensi bukan invasif dalam menangani kesemua risiko residual ini dan menekankan potensi program senaman yang disesuaikan bagi memerangi keradangan dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular akibat peningkatan Protein C-Reaktif Kepekaan Tinggi (HS-CRP). 

Beliau berkata kepentingan preskripsi senaman yang diperibadikan mengikut keperluan pesakit secara individu sambil menambah bahawa pendekatan sedemikian adalah penting dalam mengoptimumkan keberkesanan dan keselamatan program rehabilitasi yang pada akhirnya membawa kepada peningkatan hasil rawatan serta kualiti hidup pesakit.

Dr Hashbullah, profesor pelawat dan Ketua Pegawai Operasi di Medical and Rehabilitation of Asia College of Exercise Medicine (ACEM) di Malaysia, berkata penyeliaan klinikal adalah penting semasa sesi senaman bagi mengurangkan potensi risiko dan memastikan keselamatan pesakit.

“Adalah penting untuk terus memantau, menggunakan peralatan canggih untuk mengesan tanda-tanda penting dan segera menangani sebarang kesan buruk yang mungkin timbul semasa sesi rehabilitasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACEM Profesor Dr Muhammad Lee Chee Pheng, yang menerima anugerah berprestij Doctor Honoris Causa daripada HUSS semasa ISSC, berkata ramai ahli akademik yang membentang hasil kerja mereka mengenai Perubatan Senaman pada persidangan itu untuk mencegah serta merawat penyakit tidak berjangkit. 

Beliau berkata program itu turut menampilkan penceramah yang membentangkan penyelidikan saintifik mereka mengenai senaman dan sukan bagi meningkatkan kesihatan fizikal serta mental untuk mendepani Persidangan Dunia mengenai Perubatan Senaman yang bakal berlangsung di Lapland, Finland 2025.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan