DUNIA > BERITA

AL-MASHAAER AL-MUGADDASSAH SEDIA KENDALI RIBUAN JEMAAH HAJI

10/06/2024 12:10 AM

Daripada Nashir Mansor

MAKKAH, 9 Jun (Bernama) -- Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line bersedia mengendalikan pergerakan ribuan jemaah antara Tanah Suci Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina pada musim haji tahun ini.

Menurut Saudi Press Agency (SPA), perkhidmatan metro itu membantu para jemaah melaksanakan ibadah mereka dengan lancar dan lebih selesa.

Laporan itu menyatakan perkhidmatan kereta api sepanjang 18 kilometer itu merentasi sembilan stesen dan mempunyai kapasiti 72,000 penumpang sejam.

“Metro ini bergerak pada kelajuan 80 kilometer sejam dan menempuh jarak antara Mina dan Arafah kira-kira 20 minit.

“Ia mempunyai 17 set tren, setiap satunya dengan kapasiti 3,000 penumpang, membantu membawa lebih 350,000 jemaah ke pelbagai lokasi. Stesen pula direka untuk memudahkan pergerakan jemaah,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, bagi menampung jumlah jemaah yang ramai, ruang menunggu dipisahkan dari kawasan menaiki tren, dan platform memasuki tren juga dipisahkan dengan platform berlepas.

Laporan itu memaklumkan dengan adanya lif, ia memudahkan jemaah untuk mengakses platform terutamanya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Metro berkenaan juga mesra alam sekitar kerana beroperasi menggunakan kuasa elektrik dengan pelepasan sifar karbon, menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar di kawasan Tanah Suci dan kesihatan menyeluruh para jemaah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan