AM > BERITA

PENIAGA TULAR JUAL LPG LEBIH HARGA KAWALAN DIKENAKAN TINDAKAN - KPDN

18/06/2024 08:10 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenakan tindakan dengan mengeluarkan notis terhadap seorang peniaga yang tular di media sosial kerana menjual tong gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan di Puchong, Selangor. 

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan  notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) memerlukan peniaga itu mengemukakan maklum balas berhubung harga jualan dan kos LPG yang dijual dalam tempoh lima hari bekerja.  

Beliau berkata ini susulan tindakan peniaga terbabit memberikan alasan pelarasan subsidi harga minyak diesel menjadi punca kenaikan harga LPG berkenaan seperti dalam rakaman video berdurasi lebih seminit itu.

“Hasil siasatan awal ke atas video itu, pihak KPDN berjaya mengenal pasti alamat premis dan lokasi lori yang membuat penghantaran LPG berkenaan iaitu di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya telah melakukan siasatan, bermula sekitar 4 petang dengan bertindak melakukan uji beli ke atas tong gas yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan,” katanya. 

Azman berkata hasil uji beli yang dilakukan mendapati LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dijual RM34 setong berbanding harga kawalan ditetapkan kerajaan iaitu RM26.60 setong bagi tong berkapasiti 14 kg.

Beliau berkata peniaga terbabit memberikan alasan menjual melebihi harga kawalan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan bermula 10 Jun lepas.

Pasukan serbuan menyita LPG terbabit selain beberapa dokumen perniagaan lain bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu tong gas berkenaan melebihi harga kawalan.

Sementara itu, Azman berkata KPDN melaksanakan Ops Kesan 2.0 untuk menghadapi sebarang impak berikutan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dipatuhi sepenuhnya.

“Berdasarkan statistik  Ops Kesan 2.0 bermula 20 Mei hingga 17 Jun lepas sebanyak 993 premis di seluruh negara telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 209 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 akta sama dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara,” katanya. 

Azman turut memberikan amaran bahawa mana-mana pihak didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan bakal dikenakan tindakan tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tindakan pantas dapat diambil oleh KPDN ke atas mana-mana aduan yang tular di media sosial jika  pengguna segera menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran aduan khas di talian 012-6654292.  

Selain talian khas berkenaan aduan yang lengkap dan tepat boleh disalurkan kepada pihak kementerian melalui WhatsApp (019-848 8000) dan Call Centre 1800886800. 

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan