DUNIA > BERITA

ASIA PASIFIK PERINTIS DALAM PEMBANGUNAN DAMAI: DIPLOMAT CHINA

10/06/2024 03:03 PM

VIENTIANE, 10 Jun (Bernama-CMG) -- Asia Pasifik merupakan perintis dalam mengekalkan pembangunan damai dan China menyokong penyelesaian damai sebagai cara merungkai perbezaan pendapat dan pertikaian, kata Naib Menteri Luar China Sun Weidong.                                                        

Perkara itu dinyatakan Sun yang mengetuai delegasi ke Laos untuk menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China, Jepun dan Korea Selatan serta Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN dari 7 hingga 8 Jun.

Menurut beliau, China menjunjung kepusatan ASEAN, menyokong pendekatan bercirikan ASEAN dalam menggerakkan kerjasama keselamatan serantau dan menyeru pembentukan konsep keselamatan yang sama rata dan kolaboratif.

"Kami (China) berpegang teguh pada prinsip permuafakatan dengan mengambil kira tahap keselesaan semua pihak, memperkaya inisiatif kolaborasi serta aktif bertindak balas terhadap cabaran yang baru muncul seperti keselamatan siber, perubahan iklim dan kecerdasan buatan," kata beliau selepas mesyuarat berkenaan.

Menurut diplomat itu, China menyokong kerangka keselamatan serantau berpusatkan ASEAN, terus mengamalkan konsep keterbukaan dan sama menang, menjaga permintaan dan tuntutan semua pihak serta menampung kepentingan semua pihak.

Sun berkata usaha diperlukan ke arah mewujudkan kerangka keselamatan yang seimbang, berkesan dan mampan, bukannya membentuk kumpulan kecil yang bersifat tertutup dan eksklusif.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan