DUNIA > BERITA

ASEAN, CHINA LANCAR INISIATIF TINGKATKAN KERJASAMA MEDIA, PERTUKARAN SESAMA RAKYAT

22/06/2024 05:22 PM

Oleh Linda Khoo

DEZHOU (China), 22 Jun (Bernama) -- ASEAN dan China telah melancarkan inisiatif transformasi yang direka untuk meningkatkan kerjasama media dan mengukuhkan pertukaran sesama rakyat. 

Langkah penting ini bertujuan untuk meningkatkan komunikasi baik antara rakyat kedua-dua belah pihak, mengukuhkan peranan media dalam mempromosikan perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China dan membina komuniti ASEAN-China yang lebih rapat dengan masa depan yang dikongsi bersama.

Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China (ACC) Shi Zhongjun dan Presiden Kumpulan Komunikasi Antarabangsa China (CICG) Du Zhanyuan melancarkan inisiatif ASEAN-China semasa Forum Kerjasama Media ASEAN-China di Bandar Dezhou di barat laut Wilayah Shandong, China, pada Jumaat. 

Dalam satu kenyataan, ACC dan CICG berkata terdapat lima inisiatif yang dicadangkan untuk meningkatkan kerjasama media antara ASEAN dan China. 

Ini termasuk mewujudkan rangkaian kerjasama media ASEAN-China untuk menggalakkan pertukaran media yang lebih erat dan persefahaman bersama serta memudahkan perkongsian maklumat dan kerjasama praktikal.

"Kami menyokong penubuhan awal rangkaian kerjasama media ASEAN-China. 

"Kami mengalu-alukan lebih banyak rakan media dari ASEAN dan China untuk menyertai platform ini, membolehkan interaksi yang meluas dan pelbagai dijalankan secara berkala. Ini akan menyumbang tenaga dan kebijaksanaan yang lebih besar kepada pertukaran rakyat ASEAN-China," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu berkata media ASEAN dan China boleh meningkatkan pemerkasaan sains dan teknologi dengan menggunakan alat inovatif seperti AI, data besar dan pengkomputeran awan untuk menginovasi cara dan kaedah serta menjana lebih banyak produk berasaskan media untuk pertukaran sesama rakyat.

Inisiatif lain ialah memupuk generasi muda untuk memajukan persahabatan ASEAN-China bersama-sama.

"Kami akan membina platform untuk profesional media muda dari kedua-dua belah pihak, menggalakkan dan menyokong pertukaran praktikal mereka, menyuntik tenaga baharu ke dalam kerjasama ASEAN-China dalam era baharu," menurut kenyataan itu.

Inisiatif lain termasuk memanfaatkan nilai-nilai sejarah dan budaya ASEAN-China yang masih relevan dengan keadaan semasa, menyebarkan nilai-nilai Asia dengan keamanan, kerjasama, keterangkuman dan integrasi sebagai teras melalui pelbagai perspektif, menggalakkan pertukaran antara tamadun negara-negara yang berbeza dan menyatukan kebersamaan tradisional antara ASEAN dan China yang telah diwarisi. 

Akhir sekali, media dari ASEAN dan China akan menggalakkan pertumbuhan perkongsian strategik komprehensif, menurut kenyataan itu. 

"Kami akan menceritakan kisah positif mengenai ASEAN dan China yang mahukan pembangunan dan kerjasama bersama, menyampaikan mesej sebenar, objektif dan menyeluruh kerjasama ASEAN-China dan memainkan peranan aktif dalam memperdalam kepercayaan bersama ASEAN-China untuk meningkatkan kerjasama strategik komprehensif ke tahap yang lebih tinggi, dengan lebih luas dan mendalam," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, ACC dan CICG berkata 2024 ialah tahun pertukaran sesama rakyat ASEAN-China. 

"Media, yang berfungsi sebagai jambatan persefahaman dan persahabatan bersama, telah memainkan peranan yang tidak boleh ditukar ganti dalam meningkatkan pertukaran ASEAN-China. 

"Pertukaran rakyat dan budaya telah menjalin hubungan yang mendalam antara ASEAN dan China, meletakkan asas kukuh untuk kedua-dua pihak bertemu di tengah jalan dan meneruskan misi mereka ke masa depan," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan