DUNIA > BERITA

LOJI OKSIGEN TUNGGAL DI BANDARAYA GAZA BERISIKO DITUTUP AKIBAT KEKURANGAN BAHAN API

10/06/2024 11:41 PM

BANDARAYA GAZA, 10 Jun (Bernama-Anadolu) -- Loji pengeluaran oksigen tunggal di Bandaraya Gaza berisiko ditutup dalam beberapa jam akibat kekurangan bahan api yang serius, menurut Kementerian Kesihatan pada Isnin.

"Loji oksigen di Bandaraya Gaza hampir ditutup dalam beberapa jam, meletakkan nyawa pesakit dan orang yang cedera dalam risiko kematian pasti," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.

Kementerian itu memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang disimpan dalam peti sejuk kemungkinan besar akan rosak akibat kekurangan diesel yang diperlukan untuk mengendalikan generator.

Bulan lepas, tentera Israel menawan bahagian sempadan Rafah milik Palestin, satu laluan penting untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza dan ini memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah pun sukar di wilayah itu.

Serangan tanpa henti oleh Israel juga menyebabkan hospital yang tinggal di seluruh wilayah berkenaan tidak dapat beroperasi.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin telah mengeluarkan rayuan untuk menyelamatkan sistem kesihatan yang kini tidak mampu menangani jumlah mangsa yang terlalu ramai akibat pengeboman intensif oleh Israel.

Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza, membunuh lebih daripada 37,120 rakyat Palestin dan mencederakan 84,700 yang lain sejak 7 Okt walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan