DUNIA > BERITA

JIN BTS SELESAI JALANI LATIHAN TENTERA

12/06/2024 10:55 PM

SEOUL, 12 Jun (Bernama-Yonhap) -- Anggota paling tua BTS, Jin telah selesai menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib selama 18 bulan di Korea Selatan pada Rabu. 

Peminat di seluruh dunia tidak sabar menanti kepulangan bintang K-pop itu ke dunia muzik, lapor Agensi Berita Yonhap.

Penyanyi itu keluar dari kawasan Divisyen Infantri Tentera Darat Ke-5 di Yeoncheon, 61 kilometer utara Seoul kira-kira 9 pagi dan disambut oleh anggota kumpulannya.

Sepanjang perkhidmatannya, Jin bertugas sebagai pembantu jurulatih di pusat latihan rekrut Tentera Darat.

Selepas memberi tabik hormat di hadapan pintu utama, Jin menerima sejambak bunga dan dirakam tersenyum lebar ketika bertemu semula dengan lima anggota kumpulannya -- J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.

RM meraikan pelepasan Jin dengan persembahan saksofon daripada lagu hit BTS "Dynamite." 

Anggota BTS yang semuanya sedang menjalani latihan ketenteraan dilaporkan mengambil cuti untuk berkumpul di Seoul bagi sambutan secara tertutup. Bagaimanapun, Suga tidak hadir.

Jin melambai kepada media yang berkumpul dan berkata, "Hai, ARMY!" merujuk kepada peminat global BTS. Dia kemudian beredar dengan minivan hitam.

Peminat tidak hadir kerana agensi kumpulan itu, BigHit Music telah meminta mereka untuk tidak mengunjungi tempat kejadian bagi mengelakkan masalah kesesakan.

Sepanduk dan belon besar dengan mesej daripada peminat kelihatan berhampiran jalan menuju ke kawasan kem tentera.

Bintang BTS itu dijadualkan untuk memberi pelukan kepada peminat yang memenangi acara cabutan bertuah di BTS FESTA tahun ini di Kompleks Sukan Seoul pada  Khamis. 

Dengan pelepasannya, Jin menjadi yang pertama daripada tujuh anggota BTS yang menamatkan perkhidmatan ketenteraan mereka. 

Selepas Jin, J-Hope dijangka dilepaskan dari tugas ketenteraan pada Oktober.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan