DUNIA > BERITA

NVIDIA ATASI MICROSOFT JADI SYARIKAT PALING BERNILAI DI AS

19/06/2024 04:18 PM

NEW YORK, 19 Jun (Bernama-dpa) -- Pengeluar cip yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nvidia pada Selasa menjadi syarikat paling bernilai di pasaran saham, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Nilai pasaran Nvidia melonjak kepada US$3.33 trilion, didorong oleh permintaan tinggi bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta mengatasi gergasi perisian Microsoft.

Saham Nvidia meningkat 3.5 peratus pada Selasa, manakala saham Microsoft mengalami sedikit penurunan.

Cip Nvidia telah menjadi teknologi utama untuk masa depan AI. Cip ini sesuai bagi pengkomputeran, terutamanya dalam melatih perisian AI di pusat data.

Syarikat lain yang tersenarai di bursa dengan nilai pasaran melebihi US$3 trilion adalah Apple, dengan sahamnya melonjak minggu lalu selepas mengumumkan ciri-ciri AI baharu.

Sementara itu, Microsoft menggabungkan kecerdasan buatan ke dalam produknya melalui perkongsian bernilai berbilion dolar dengan OpenAI, pencipta chatbot ChatGPT.

Nvidia memanfaatkan trend ini dengan menjual beribu-ribu sistem cip mahal kepada Microsoft, Google dan syarikat induk Facebook, Meta.

Kenaikan harga saham Nvidia pada hari Selasa berikutan pengumuman perkongsian dengan Hewlett Packard Enterprise untuk melaksanakan teknologi AI dalam perniagaan.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan