DUNIA > BERITA

AUSTRALIA TAHAN 15 NELAYAN INDONESIA TERBABIT AKTIVITI PERIKANAN HARAM

22/06/2024 04:49 PM

CANBERRA, 22 Jun (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa Australia menahan 15 nelayan asing dan merampas dua kapal Indonesia yang menjalankan aktiviti perikanan haram di pantai utara negara itu.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) dan Pihak Berkuasa Pengurusan Perikanan Australia (AFMA) pada Sabtu memaklumkan pihaknya mengesan dan menahan kapal-kapal berkenaan yang menangkap ikan secara haram di sekitar Pulau Deliverance di Selat Torres antara Australia dan Papua New Guinea (PNG) pada Selasa, lapor Xinhua.

Kesemua anak kapal itu telah dibawa ke Darwin, Wilayah Utara (NT) Australia dan ditahan sementara siasatan dilakukan.

ABF dan AFMA dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa kapal-kapal terbabit dilengkapi dengan peralatan menangkap ikan dalam kuantiti yang besar.

Kedua-dua kapal itu akan dilupuskan oleh AFMA.

Di bawah undang-undang Australia, mereka yang didapati bersalah menangkap ikan secara haram di Zon Perikanan Australia (AFZ) akan berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Dalam insiden berasingan, 15 nelayan yang ditahan di atas tiga kapal Indonesia pada Mac lalu telah dikenakan denda sebanyak 31,300 dolar Australia (AS$20,868.9) pada April setelah mengaku bersalah di bawah Akta Pengurusan Perikanan di Mahkamah Tempatan Darwin.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan