DUNIA > BERITA

Rakyat Palestin Yang Ditahan pihak Berkuasa Israel Hadapi Seksaan, Dianiaya: Laporan Pbb

31/07/2024 10:03 PM

RAMALLAH (Palestin), 31 Julai (Bernama-WAFA) -- Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) berkata rakyat Palestin yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel sejak 7 Okt menghadapi seksaan waterboarding, kurang tidur, renjatan elektrik, serangan anjing serta bentuk penyeksaan dan penganiayaan lain.

Laporan itu menyatakan perkhidmatan penjara Israel menahan lebih 9,400 "tahanan keselamatan" setakat akhir Jun dan sesetengahnya telah ditahan secara rahsia tanpa akses kepada peguam atau menghormati hak undang-undang mereka.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa ringkasan laporan itu, berdasarkan temu bual dengan bekas tahanan dan sumber lain, mengecam bilangan tahanan yang "mengejutkan" - termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak, wartawan dan pejuang hak asasi manusia - dan menyatakan amalan sedemikian menimbulkan kebimbangan mengenai penahanan sewenang-wenangnya.

"Testimoni yang dikumpul oleh pejabat saya dan entiti lain menunjukkan pelbagai tindakan yang mengerikan, seperti tahanan dilemaskan (waterboarding) dan serangan anjing, antara tindakan lain, yang melanggar hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara terang-terangan," kata ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk dalam satu kenyataan.

Ringkasan laporan itu menyebut: "Tahanan berkata mereka ditahan dalam kemudahan seperti sangkar, dilucutkan pakaian untuk tempoh yang lama, hanya memakai lampin. Testimoni mereka menceritakan pengalaman ditutup mata untuk tempoh lama, kekurangan makanan, tidur dan air serta mengalami renjatan elektrik dan dicucuh dengan rokok.

"Sesetengah tahanan berkata anjing dilepaskan ke atas mereka dan yang lain mengatakan mereka dikenakan waterboarding atau tangan mereka diikat dan mereka digantung dari siling.

"Sesetengah wanita dan lelaki juga bercakap tentang keganasan seksual dan berasaskan jantina," kata laporan itu.

Turk menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa melindungi semua tahanan dan menghendaki mereka dilayan secara berperikemanusiaan dan dilindungi daripada semua tindakan keganasan dan ancaman keganasan.

"Undang-undang antarabangsa menghendaki semua orang yang dilucutkan kebebasan mereka dilayan dengan kemanusiaan dan maruah serta melarang keras penyeksaan atau layanan buruk lain, termasuk rogol dan keganasan seksual," katanya dalam kenyataan itu. 

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan