DUNIA > BERITA

XI BERTEMU PM VIETNAM

27/06/2024 02:51 PM

BEIJING, 27 Jun (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh di sini, petang Rabu.

Xi berkata China ingin bersama Vietnam mengekalkan perpaduan dan persahabatan, teguh menyokong satu sama lain sambil memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan.

China juga sedia berganding tangan dengan Vietnam dalam menuju pemodenan sekali gus membuat sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran dunia.

Beliau menekankan perlunya kedua-dua pihak mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, memantapkan kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi, meningkatkan kesalinghubungan dan mendorong pembangunan berkualiti kerjasama pragmatik.

Xi berkata China menggalakkan lebih banyak syarikat domestik meningkatkan pelaburan di Vietnam dan berharap agar Vietnam dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang adil tanpa diskriminasi untuk syarikat China.

Kedua-dua pihak disaran menyokong pemerkasaan pertukaran antara wilayah sempadan, melaksanakan projek kebajikan rakyat membabitkan pertanian, pendidikan dan perubatan, di samping memanfaatkan pelbagai platform pertukaran sesama rakyat serta belia untuk mengukuhkan sokongan awam terhadap persahabatan China-Vietnam.

Beliau menambah kedua-dua pihak harus menangani isu maritim dengan baik, menggerakkan penerokaan bersama laut dan bersinergi memelihara ketenteraman serantau.

Sementara itu, Chinh berkata pengukuhan kesalingpercayaan strategik dan kerjasama pragmatik dengan China serta pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama negara merupakan keutamaan serta pilihan strategik dalam dasar luar Vietnam.

Vietnam sedia bersinergi dengan China untuk menggalakkan pertukaran sesama golongan belia, memperkukuh koordinasi multilateral, menangani perbezaan pendapat secara baik dan menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib yang membawa erti strategik.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan