AM > BERITA

HIMPUNAN TIDAK JEJASKAN KEMPEN PRK SG BAKAP - SAIFUDDIN NASUTION

30/06/2024 12:25 AM

NIBONG TEBAL, 29 Jun (Bernama) -- Penganjuran himpunan "Rakyat Tolak Anwar" di Putrajaya hari ini tidak akan menjejaskan ‘mood’ kempen jentera Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata himpunan itu membuktikan bahawa Malaysia adalah negara yang menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman serta menegur dan mengkritik pemerintah.

Beliau berkata ia juga memberikan gambaran bahawa sesiapa pun berpeluang untuk bersuara tanpa diganggu-gugat. 

“Kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan Malaysia di bawah teraju (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendekatan MADANI membuka (peluang) atau menghormati hak setiap rakyat, walaupun beliau dimaki hamun,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Xpresi Generasi Kita: Solidariti Bersama Dadah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Sungai Bakap di sini malam ini.

Petang tadi, kira-kira 250 peserta berbaju hitam berhimpun di kawasan letak kenderaan pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, antaranya menuntut subsidi diesel dikembalikan serta tidak menaikkan harga petrol RON95 dan gas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan