DUNIA > BERITA

ROI ET BAKAL MENJADI CONTOH WILAYAH BEBAS DADAH DI THAILAND - SRETTHA

02/07/2024 11:34 PM

BANGKOK, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin menyasarkan untuk menjadikan Roi Et, sebuah wilayah di timur laut tengah negara ini, sebagai Zon Bebas Dadah menjelang akhir September.

Srettha berkata menangani masalah dadah adalah satu daripada dasar kerajaan yang mendesak dan penting, dan beliau telah mengadakan beberapa mesyuarat susulan dengan agensi berkaitan serta telah mengeluarkan pelbagai arahan.

Beliau berkata gabenor akan bertanggungjawab terhadap projek contoh itu, yang selaras dengan dasar mendesak kerajaan untuk membanteras dadah.

"Dalam minggu lepas, saya dan beberapa menteri telah melawat wilayah utara dan timur laut. Kami akan menggunakan Wilayah Roi Et sebagai model untuk menangani masalah dadah dan menyasarkan untuk menjadikannya wilayah bebas dadah menjelang akhir September," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet bergerak di Nakhon Ratchasima, dekat sini, pada Selasa.

Beliau berkata, gabenor perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan lain di wilayah itu untuk melaksanakan operasi "X-ray" besar-besaran bagi memeriksa kemungkinan kewujudan penagih dan pengedar dadah di timur laut.

"Mereka yang ditahan menyalahgunakan dadah mesti dipaksa menjalani pemulihan, manakala pengedar mesti ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata kerajaan percaya ramai penagih dadah akan ditahan dalam operasi besar-besaran ini dan Kementerian Dalam Negeri, Kesihatan Awam dan Pertahanan akan bekerjasama untuk membina kemudahan pemulihan yang mencukupi untuk penagih dadah di Roi Et.

Srettha juga menggesa Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) untuk menetapkan sasaran dan petunjuk yang mencabar, serta langkah-langkah yang sesuai bagi setiap wilayah untuk membanteras dadah.

Gabenor wilayah dan ketua polis wilayah harus bekerjasama rapat untuk mencapai matlamat ini, katanya.

Sementara itu, Srettha juga mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan peruntukan 7.6 bilion Baht untuk kawasan di timur laut yang menghadapi masalah banjir dan kemarau yang berterusan, menyebabkan kesukaran ketara kepada kehidupan dan harta rakyat.

"Pejabat Sumber Air Kebangsaan dan Jabatan Pengairan Diraja diminta untuk mempercepatkan pertimbangan projek berdasarkan kesesuaian, dengan mengambil kira sifat masalah, keperluan mendesak, dan keadaan khusus kawasan yang terjejas," katanya.

Beliau juga meminta Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana bekerjasama dengan Jabatan Pengairan Diraja untuk menyediakan pelan kontingensi dan strategi bagi mengurangkan impak banjir dan kemarau, dengan matlamat mengurangkan penderitaan rakyat sebanyak mungkin.

Media tempatan Thailand melaporkan bahawa lebih daripada 740 isi rumah, 1,468 orang dan beberapa penerbangan terjejas akibat banjir pada Isnin, selepas hujan tidak berhenti sejak Sabtu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan