DUNIA > BERITA

EKONOMI CHINA TERUSKAN MOMENTUM PEMULIHAN

16/07/2024 03:10 PM

BEIJING, 16 Julai (Bernama-CMG) -- Ekonomi China meneruskan momentum pemulihan dan trend perkembangan ke arah baik dengan operasinya kekal stabil secara keseluruhannya pada separuh pertama tahun ini, menurut Biro Statistik Negara (NBS).

Berdasarkan anggaran awal, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China direkod melepasi 61.68 trilion yuan (RM39.71 trilion) pada separuh pertama 2024,  menokok sebanyak 5 peratus dari tahun ke tahun jika diukur mengikut harga malar.

Jurucakap NBS berkata prestasi ekonomi China kekal mantap, menyaksikan kadar pertumbuhannya bagi suku pertama tahun ini lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat (AS), zon euro, Jepun dan lain-lain.

Pertumbuhan ekonomi negara Tembok Besar dijangka tetap berada di kedudukan terdepan pada separuh tahun pertama, menjadikannya kekal sebagai penggerak dan penstabil kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

Data NBS menunjukkan KDNK China bagi suku pertama dan suku kedua masing-masing mencatat pertumbuhan 5.3 peratus dan 4.7 peratus dari tahun ke tahun.

Dari Januari hingga Jun, nilai tambah industri berskala besar di seluruh negara naik 6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala nilai tambah industri perkhidmatan meningkat 4.6 peratus.

Jumlah keseluruhan jualan runcit barang pengguna pula menokok 3.7 peratus dari tahun ke tahun dengan mencecah 23.59 trilion yuan (RM15.18  trilion).

Memandang separuh tahun kedua, jurucakap itu berkata perlunya bertindak proaktif menangani pelbagai kesulitan dan cabaran yang dihadapi, melipatgandakan usaha untuk mengembangkan kuasa produktif kualiti baharu serta berusaha menambah baik kualiti pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kuantiti meningkat secara munasabah.

-- BERNAMA-CMG



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan