DUNIA > BERITA

AKADEMI SAUDI LIHAT MALAYSIA SEBAGAI NEGARA UTAMA UNTUK PROMOSI BAHASA ARAB

18/07/2024 01:34 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 18 Julai (Bernama) -- Akademi Global Raja Salman bagi Bahasa Arab (KSGAAL) Arab Saudi melihat Malaysia sebagai negara penting dalam promosi bahasa Arab dan merancang untuk bekerjasama dengan pelbagai universiti di Malaysia bagi membangunkan kemahiran dan ilmu bahasa Arab.

Setiausaha Agungnya, Abdullah Saleh Al Washmi berkata akademi itu didorong oleh sambutan yang diterima di Malaysia terhadap bengkel dan inisiatif lain yang dianjurkan.

"Adalah jelas bahawa Malaysia menunjukkan minat yang besar terhadap bahasa Arab, seperti yang kami perhatikan melalui pelaksanaan pelbagai program kami. Kami menjangkakan pelaksanaan program tambahan akan menyumbang secara besar untuk meningkatkan tahap pengajian bahasa Arab di Malaysia.

"Kami sedang mewujudkan kerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia untuk meningkatkan penguasaan pengajar bahasa Arab. Kerjasama ini bertujuan untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan memudahkan proses pembelajaran untuk pelajar," katanya kepada Bernama di New Delhi.

Usaha KSGAAL untuk mempromosikan bahasa Arab di Malaysia termasuk bengkel dan ceramah untuk pengajar dan pelajar.

Ia telah menerbitkan kajian bertajuk "Bahasa Arab di Malaysia", yang mengkaji perkembangan bahasa berkenaan di negara ini.

Abdullah berkunjung ke ibu kota India sebagai sebahagian daripada program "Bulan Bahasa Arab" KSGAAL di Delhi dan negeri Kerala, satu inisiatif yang merupakan sebahagian daripada usaha jangkauan antarabangsa akademi itu.

"Setakat ini, kami berjaya melaksanakan program ini di beberapa negara, termasuk Uzbekistan, Indonesia dan China. Pada masa ini, kami dalam proses untuk melaksanakan program ini di India dan kami berhasrat untuk meluaskannya ke Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Di New Delhi, KSGAAL menganjurkan acara di Universiti Jawaharlal Nehru (JNU), Universiti Delhi dan Jamia Millia Islamia (JMI) dengan kerjasama jabatan bahasa Arab mereka.

Ratusan pelajar dan pengajar bahasa Arab menyertai acara di Delhi.

Menekankan kepentingan bahasa Arab di India, Mujeebur Rahman, seorang profesor bahasa Arab di JNU, berkata terdapat minat yang besar terhadap bahasa itu dalam kalangan golongan muda disebabkan hubungan yang semakin erat dengan rantau Arab serta permintaan untuk kemahiran bahasa Arab dalam pekerjaan korporat dan kerjaya antarabangsa.

Mereka yang dalam bidang pengajian Islam dan sastera juga mencari kemahiran bahasa yang lebih tinggi dalam usaha akademik mereka.

Fokus KSGAAL adalah untuk membangunkan kemahiran bahasa Arab merentasi semua bidang kerana dunia Arab telah meningkatkan penglibatan politik, perniagaan dan budaya di seluruh dunia.

Satu aspek utama kerja akademi ini adalah fokus pada alat digital untuk mengembangkan penggunaan bahasa Arab secara global dan meningkatkan standard bahasa dalam kalangan pelajar bukan asli.

"Ruang untuk mengembangkan penggunaan bahasa Arab adalah dalam setiap domain, sama ada budaya, ekonomi, teknologi atau kecerdasan buatan," kata Mujeebur Rahman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan