AM > BERITA

JTDC ATASI ISU KEKURANGAN PEKERJA MAHIR SELARI PEWUJUDAN JS-SEZ

18/07/2024 03:13 PM

JOHOR BAHRU, 18 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata usaha mengatasi isu kekurangan tenaga kerja mahir adalah sangat penting bagi menampung keperluan industri selari pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi.

Beliau berkata langkah mengatasi isu itu juga mustahak untuk mencapai visi Johor sebagai negeri maju menjelang 2030 dan sejak 1 Jan lepas jumlah pekerjaan di negeri ini meningkat pesat menyaksikan 74,710 kekosongan pekerjaan diiklankan.

“Namun hanya 51,946 pemohon kerja yang direkodkan malah menurut statistik sebanyak 22.3 peratus siswazah di Johor bekerja dalam pekerjaan tidak setaraf dan 20 hingga 60 peratus lulusan Kolej Vokasional di Johor bekerja luar bidang atas faktor ketidakpadanan.

“Oleh itu, pada mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan negeri mencadangkan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) ditubuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat khas itu antaranya Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. 

Beberapa cadangan yang dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan termasuk menjadikan JTDC sebagai pusat sehenti bersama Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) bagi memudahkan segala operasi, pengambilan pekerja serta kemasukan pelabur di Johor.

“Menjadikan JTDC sebagai Pusat Perhubungan antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri untuk memperbanyak program pembangunan bakat, peningkatan kemahiran serta penempatan kerjaya secara terus.

“Turut dipersetujui pelaksanakan kajian keberhasilan program dan kursus sedia ada serta penyasaran semula kursus yang bertepatan dengan keperluan industri dan menjadikan JTDC sebagai Pusat Pengumpulan Data oleh kementerian, agensi dan pihak berkaitan bagi kajian tenaga kerja dan keperluan industri,” katanya.

Beliau yakin penubuhan JTDC sebagai serampang dua mata yang mampu meningkatkan kebolehpasaran siswazah serta memenuhi keperluan industri terutama di Johor dan Malaysia secara keseluruhan.

“Insya-Allah dengan dasar yang komprehensif dan sokongan padu semua pihak berkepentingan, saya yakin JTDC akan memainkan peranan penting menjadikan Johor sebuah negeri maju serta rujukan utama dalam memenuhi keperluan tenaga mahir yang mencukupi dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan