DUNIA > BERITA

YAEL BRAUN-PIVET DIPILIH SEMULA SEBAGAI SPEAKER DEWAN RAKYAT PERANCIS

19/07/2024 10:41 AM

ANKARA, 19 Julai (Bernama-Anadolu) -- Ahli parlimen Perancis telah memilih Yael Braun-Pivet, calon dari parti Presiden Emmanuel Macron, sebagai Speaker Dewan Rakyat atau dewan rendah parlimen, untuk penggal kedua pada Khamis.

Pemilihan diadakan ketika ahli parlimen berkumpul buat kali pertama selepas pilihan raya parlimen awal.

Tiga pusingan pengundian dijalankan dan Braun-Pivet memperoleh majoriti relatif dengan 220 undi, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau menewaskan calon sayap kiri Andre Chassaigne yang menerima 207 undi dan calon kanan tengah Sebastien Chenu yang memperoleh 141 undi.

Sebagai anggota blok pusat yang disokong oleh Macron, Braun-Pivet menghadapi kritikan hebat daripada ahli politik sayap kiri.

Keadaan politik di Perancis kekal tegang dan berpecah, dengan parti-parti, terutamanya pakatan sayap kiri, mempertikaikan jawatan perdana menteri.

Ratusan orang turun ke jalan-jalan di Paris pada Khamis untuk mendesak Macron melantik perdana menteri daripada pakatan sayap kiri.

Penunjuk perasaan berhasrat untuk memberi tekanan kepada Macron agar mencalonkan perdana menteri sayap kiri secepat mungkin.

Macron pada Selasa menerima peletakan jawatan Perdana Menteri Gabriel Attal selepas keputusan pilihan raya awal, selepas pada mulanya menolaknya pada 8 Julai.

Dewan Rakyat mempunyai 577 kerusi dan tiada satu pun daripada tiga pakatan utama yang berjaya memenangi majoriti mutlak 289 ahli parlimen.

Pusingan pertama diadakan pada 30 Jun, dengan 76 calon terpilih tanpa memerlukan pusingan kedua.

Perhimpunan Nasional Marine Le Pen (RN) menerima 29.26 peratus undi (37 kerusi), angka itu meningkat kepada lebih daripada 33 peratus apabila digabungkan dengan sekutunya.

NFP memperoleh 28.06 peratus (32 kerusi), diikuti oleh parti tengah Together for the Republic dengan sedikit lebih 20.04 peratus (dua kerusi).

Macron membubarkan parlimen dan mengumumkan pilihan raya awal selepas RN memenangi lebih daripada 31 peratus undi dalam pilihan raya Parlimen Eropah pada 9 Jun, mengalahkan blok tengahnya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan