DUNIA > BERITA

LEBIH 2,500 PESERTA BERTANDING DALAM SUKAN NOMAD DUNIA KELIMA DI KAZAKHSTAN

19/07/2024 05:03 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Lebih 2,500 peserta dari hampir 100 negara akan mengambil bahagian dalam Sukan Nomad Dunia Kelima, sebuah acara sukan antarabangsa yang mempamerkan sukan tradisional berakar umbi dalam tradisi masyarakat nomad Asia Tengah. Acara ini akan diadakan di Astana, Kazakhstan dari 8 hingga 13 Sept.

Naib Menteri Pelancongan dan Sukan Kazakhstan Serik Zharasbayev, berkata sukan bertemakan "The Gathering of the Great Steppe" itu akan menampilkan 21 jenis sukan dengan 97 pingat dipertaruhkan.

Pertandingan termasuk lumba kuda, gaya gusti nasional, permainan intelektual tradisional, pertandingan seni mempertahankan diri, memanah tradisional, memburu burung kebangsaan dan permainan rakyat.

"Sukan Nomad Dunia adalah acara sukan antarabangsa berskala besar yang bertujuan menghidupkan dan memelihara budaya masyarakat nomad serta mengembangkan sukan nasional dalam konteks globalisasi," katanya ketika ditemui di Astana baru-baru ini.

Zharasbayev berkata setakat ini, 89 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam edisi kelima Sukan Nomad Dunia, yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan Kazakhstan dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Negara-Negara Turkik.

Beliau berkata tujuh venue di Astana telah dikenal pasti untuk menganjurkan sukan itu.

Sukan Nomad Dunia ditubuhkan untuk meraikan sukan tradisional dan warisan budaya masyarakat nomad di seluruh dunia.

Sukan sulung diadakan pada 2014 di Cholpon-Ata, Republik Kyrgyz. Republik Kyrgyz menjadi tuan rumah sekali lagi pada 2016 dan 2018, manakala Turkiye menjadi tuan rumah pada 2022.

Kementerian Pelancongan dan Sukan Kazakhstan, dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata Kazakhstan sangat sesuai untuk menjadi tuan rumah sukan itu kerana ikatan sejarahnya dengan tradisi nomad dan pengalamannya dalam menganjurkan acara besar seperti EXPO 2017.

"Dengan menganjurkan Sukan Nomad Dunia Kelima, Kazakhstan berhasrat untuk meraikan dan memelihara warisan budaya yang kaya bagi masyarakat nomad, mempromosikan identiti budaya dan mengukuhkan hubungan antarabangsa.

"Sukan ini adalah acara budaya yang penting bagi Kazakhstan dan rantau Asia Tengah yang lebih luas, berfungsi sebagai platform untuk meraikan dan memelihara amalan tradisional, sukan dan cara hidup masyarakat nomad," kata kementerian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan