DUNIA > BERITA

RUNGKAS PENEMPATAN HARAM, BAYAR PAMPASAN, PRESIDEN MALDIVES GESA ISRAEL

20/07/2024 04:24 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 20 Julai (Bernama) -- Presiden Maldives Mohamed Muizzu telah menggesa Israel untuk merungkas penempatan haramnya dan membayar pampasan kepada rakyat Palestin atas tindakannya selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyatakan pendudukan Israel di wilayah Palestin sejak 1967 sebagai haram.

Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat dalam pendapat nasihatnya, sebagai tindak balas kepada permintaan Perhimpunan Agung PBB, menyatakan bahawa penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta rejim yang dikaitkan dengannya melanggar undang-undang antarabangsa.

"Dengan mengiktiraf kehadiran haram Israel yang berterusan di Wilayah Palestin yang Diduduki sebagai satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Mahkamah mengesahkan aspirasi rakyat Palestin yang terkandung dalam perjuangan mereka yang sah untuk penubuhan negara dan penentuan nasib sendiri," kata Muizzu dalam reaksinya.

"Saya menggesa Israel untuk segera menghentikan dasar penempatan haramnya dan membayar ganti rugi atas kerosakan yang disebabkan oleh tindakan eksploitatif dan diskriminasinya," katanya.

ICJ meneliti pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel secara meluas, termasuk perampasan tanah Palestin secara besar-besaran, eksploitasi sumber asli, pengusiran paksa, pemusnahan rumah, sekatan ke atas kediaman dan pergerakan penduduk Palestin serta keganasan oleh peneroka haram dan tentera bersenjata.

Mahkamah berkata Israel "mempunyai kewajipan untuk membayar ganti rugi atas kerosakan yang dilakukan kepada semua individu atau entiti yang terlibat" di wilayah Palestin yang diduduki.

Ia juga menyatakan bahawa semua negara mempunyai kewajipan untuk tidak membantu Israel dalam mengekalkan keadaan yang dicetus oleh kehadiran berterusannya di tanah yang diduduki.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan