DUNIA > BERITA

Kebakaran Besar Hutan Di Oregon, Saiznya Lebih Separuh Keluasan Rhode Island

27/07/2024 02:35 PM

SAN FRANCISCO, 27 Julai (Bernama-Xinhua) -- Kebakaran besar hutan di Oregon, Amerika Syarikat (AS) telah merebak kira-kira 600 batu persegi (1,554 km persegi), yang saiznya melebihi separuh daripada keluasan tanah Rhode Island secara keseluruhan, kata pegawai pada Jumaat.

Kebakaran Durkee, yang dicetuskan oleh kilat pada 17 Julai, merupakan kebakaran terbesar di Amerika Syarikat setakat ini. Pegawai berkata kebakaran hanya 20 peratus terkawal pada Jumaat, kata Xinhua.

Sementara itu, sebuah pesawat tangki dengan seorang juruterbang yang dikontrak oleh Biro Pengurusan Tanah AS, hilang pada Khamis semasa memadamkan satu lagi kebakaran hutan, Kebakaran Falls, berhampiran bandar Seneca di pinggir Hutan Negara Malheur.

Pesawat itu ditemukan pada pagi Jumaat, kata pihak berkuasa, yang turut mengorbankan juruterbangnya dalam nahas itu.

Kebakaran Falls telah merebak seluas 219 batu persegi (567 km persegi) dengan 55 peratus terkawal, menurut laman web kerajaan InciWeb.

Setakat Khamis, kebakaran hutan telah merebak hampir 1 juta ekar (4,047 km persegi) di Oregon dan 125,900 ekar (509 km persegi) di Washington setakat tahun ini, menurut Pusat Koordinasi Antara Agensi Barat Laut di Portland, Oregon.

Di California, Kebakaran Park telah memaksa pemindahan lebih 4,000 penduduk di Butte County, utara bandar ibu negeri California, Sacramento. Kebakaran itu merebak tanpa terkawal dari 125,000 ekar (505 km persegi) pada Khamis ke 164,200 ekar (664 km persegi) pada pagi Jumaat, menurut Jabatan Perlindungan Kehutanan dan Kebakaran California.

Lebih 110 kebakaran aktif yang meliputi 2,800 batu persegi (7,250 km persegi) dicatatkan di seluruh negara pada Jumaat, menurut Pusat Kebakaran Antara Agensi Kebangsaan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan