DUNIA > BERITA

Tourism Malaysia lancar Pakej Durian Eksklusif Sempena Malaysia Fest

27/07/2024 03:49 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 27 Julai (Bernama) -- Tourism Malaysia melancarkan Pakej Durian Delight sempena Malaysia Fest 2024 yang sedang berlangsung di Singapore Expo, Changi, untuk menarik pencinta Raja Buah dari republik itu dengan pakej eksklusif.

Tourism Malaysia berkata agensi itu bersama-sama dengan rakan pelancongan dan pemilik durian tempatan menggabungkan kepakaran mereka untuk mencipta produk premium yang mempamerkan varieti durian Malaysia terbaik untuk pelancong Singapura.

"Daripada baucar hotel diskaun kepada pakej pelancongan durian, pavilion Tourism Malaysia di Malaysia Fest akan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan dari Malaysia," kata Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Singapura, Mohana Murni Shanmugam, dalam kenyataan.

Pakej Durian Delight dilancarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar pada Khamis.

Antara pilihan percutian yang tersedia termasuk tawaran menarik daripada The Yanné Onsen Hotel, Hotel milik Kumpulan SKS, Hospitality 360 dan Legoland Malaysia.

Pelawat yang membeli dari pavilion Tourism Malaysia semasa Malaysia Fest akan berpeluang menebus beg jinjing eksklusif yang direka oleh penulis blog pelancongan dan artis Malaysia yang terkenal, berpangkalan di Singapura, Ng Sock Peng.

Selain itu, pavilion itu juga mempamerkan demonstrasi membuat tembikar labu sayong secara langsung dan manik kasut Peranakan.

Malaysia Fest 2024 yang bertemakan "Explore the Gems of Malaysia" dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama MegaXpress International Pte Ltd di Dewan 5A dan 5B, Singapore Expo, dari 25 hingga 28 Julai.

Ekspo ini menampilkan 300 gerai yang mempamerkan pelbagai produk Malaysia, termasuk pertanian, agromakanan, pelancongan, kesihatan, fesyen dan barangan kecantikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan