DUNIA > BERITA

PANGLIMA TENTERA DARAT MALAYSIA ADAKAN LAWATAN PENGENALAN KE SINGAPURA

23/07/2024 08:53 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengadakan kunjungan ke atas Menteri Negara Kanan Pertahanan Singapura Zaqy Mohamad di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Selasa, sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalannya ke republik itu.

Mindef berkata semasa mesyuarat itu, mereka mengesahkan kepentingan mengekalkan hubungan yang kukuh antara Tentera Singapura dan Malaysia dan membincangkan usaha berterusan untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak. 

"Lawatan Muhammad Hafizuddeain itu menekankan hubungan pertahanan dua hala yang mesra dan telah lama terjalin antara Singapura dan Malaysia," menurut Mindef dalam satu kenyataan, Selasa.

Sempena lawatan tiga hari itu yang bermula 22 Julai, beliau turut melawat Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng dan Panglima Tentera Darat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) Mejar Jeneral David Neo, selepas memeriksa kawalan kehormatan di Mindef.

Muhammad Hafizuddeain turut melawat Komando Angkatan Tentera Singapura (SAF) di Kem Pasir Ris, yang berpeluang melihat demonstrasi Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB) dan Latihan Payung Terjun di Kemudahan Latihan Tentera Udara.

Beliau juga berpeluang menaiki Light Strike Vehicle Mark II dan mengambil bahagian dalam tembakan dengan HK416 Assault Rifle menggunakan Man Marking Rounds.

Semasa lawatan itu, Muhammad Hafizuddeain juga bertukar sayap payung terjun dengan Neo.

Tentera Darat Singapura dan Tentera Darat Malaysia bekerjasama dan berinteraksi secara berkala melalui pelaksanaan latihan seperti Eksesais Semangat Bersatu (XSB) dua hala tahunan, lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional dan kehadiran silang kursus profesional.

Mindef berkata interaksi tetap ini telah meningkatkan persefahaman bersama dan hubungan profesional antara anggota kedua-dua angkatan tentera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan