DUNIA > BERITA

G20 Bersetuju Pastikan Golongan Kaya-raya Dikenakan Cukai Dengan Berkesan

27/07/2024 04:02 PM

ISTANBUL, 27 Julai (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan 20 atau G20 berkata pada Jumaat bahawa kumpulan itu bersetuju untuk berusaha memastikan golongan kaya-raya di seluruh dunia dikenakan cukai dengan berkesan, namun tidak mengulas lanjut mengenai kaedahnya, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kumpulan itu berkata adalah penting bagi semua pembayar cukai, termasuk individu dengan pendapatan bersih yang tinggi untuk menyumbang bahagian cukai mereka secara adil.

"Pengelakan cukai agresif atau penghindaran cukai oleh individu dengan pendapatan bersih yang tinggi boleh menjejaskan keadilan sistem cukai, yang membawa kepada pengurangan keberkesanan cukai progresif," menurut Deklarasi Menteri G20 mengenai Kerjasama Cukai Antarabangsa.

"Tiada sesiapa yang sepatutnya dapat mengelak cukai...Oleh itu, usaha yang lebih besar perlu dilakukan untuk memastikan pematuhan penuh terhadap kewajipan cukai domestik," tambahnya.

Walaupun terdapat konsensus untuk mengenakan cukai kepada golongan kaya-raya, mekanisme untuk mencapai matlamat itu masih kabur.

"Setiap bidang kuasa harus bekerja secara autonomi atau, jika perlu, melalui inisiatif pembinaan kapasiti untuk meningkatkan keberkesanan kutipan hasil cukai, yang hari ini boleh dikenakan berdasarkan undang-undang domestik," kata kumpulan itu.

"Kerjasama boleh melibatkan pertukaran amalan terbaik, menggalakkan perbincangan mengenai prinsip cukai dan merangka mekanisme antipengelakan, termasuk menangani amalan cukai yang berpotensi berbahaya," tambahnya.

Negara-negara anggota berkata mereka akan terus membincangkan isu itu dalam G20 dan forum lain yang berkaitan, bergantung pada input teknikal organisasi antarabangsa yang relevan, akademia dan pakar yang berkaitan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan