SUKAN > BERITA

Thinaah Dapat Pengalaman Istimewa Bertemu Nadal, Biles

27/07/2024 10:53 PM

Oleh R. Vikneswaran

 

PARIS, 27 Julai (Bernama) -- Penampilan pertama di Sukan Olimpik pastinya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh atlet, namun bagi beregu wanita negara M. Thinaah, ia menjadi lebih lebih istimewa apabila dapat berjumpa dengan bintang tenis dunia Rafael Nadal.

Thinaah berkongsi bahawa beliau mendapat peluang seumur hidup apabila sempat bergambar dengan bekas pemain nombor satu dunia dari Sepanyol itu, selain berjumpa dengan jaguh gimnastik Amerika Syarikat Simone Biles.

“Saya sempat jumpa dan bergambar dengan Nadal, pengalaman ini kita tidak akan dapat di mana-mana. Kami menghargainya, kami juga menimba pengalaman di Olimpik,” katanya di Porte de La Chapelle Arena, venue bagi pertandingan badminton di sini. 

Nadal dan Biles antara jaguh sukan dunia yang menyertai upacara perasmian di Sungai Seine semalam. 

Nadal, pemenang dua pingat emas Olimpik, akan beraksi dalam acara perseorangan pada kali ini manakala Biles, pemenang empat pingat emas Olimpik dijadualkan beraksi dalam tiga acara gimnastik artistik bermula esok.

Terdahulu, juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu tewas 17-21, 20-22 selepas aksi sengit selama 55 minit menentang gandingan nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China pada aksi Kumpulan A. 

Pearly-Thinaah seterusnya wajib menang menentang beregu nombor enam dunia, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun esok dan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia untuk layak ke pusingan suku akhir. 

“Agak mengecewakan apabila kami tidak dapat memenangi set kedua, namun secara keseluruhan kami telah berikan 100 peratus, cuma pada saat-saat genting saya rasa pemain China lebih baik daripada kami. 

"Kami ambil semua aspek positif untuk hadapi perlawanan seterusnya dan akan terus memberi sokongan antara satu sama lain serta fokus untuk meraih setiap mata dan perlawanan,” kata Thinaah.

Pearly berkata walaupun tewas dalam aksi hari ini, mereka mempunyai perkara positif yang boleh dibawa untuk aksi-aksi seterusnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan