DUNIA > BERITA

Datuk Bandar Paris Ingin Kekalkan Gegelung Olimpik Di Menara Eiffel

30/07/2024 07:39 AM

Paris, 30 Julai (Bernama-dpa) -- Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo pada Isnin berkata bahawa gegelung Olimpik yang dipasang di Menara Eiffel perlu dikekalkan di bandar itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Terdapat tiga simbol yang perlu kita kekalkan supaya ia dapat dipelihara sebagai warisan," kata Hidalgo kepada stesen radio France Bleu, sambil menyenaraikan gegelung Menara Eiffel terlebih dahulu.

Hidalgo kemudian menyebut mengenai kawah yang menempatkan api Olimpik.

Kawah itu terletak di bawah belon gergasi di Taman Tuileries.

Datuk bandar itu juga ingin memasang arca perintis wanita yang pertama kali didedahkan semasa majlis pembukaan di bandar itu selepas Sukan Olimpik.

"Saya sudah lama berfikir bahawa ia akan kekal terpelihara di Paris, terutamanya di arrondissements ke-18.

"Tiga karya seni simbolik yang indah ini layak mendapat perhatian penuh kita," katanya.

Jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams berkata pihak penganjur akan berbesar hati jika Paris menyimpan gegelung itu dan keputusan berada di tangan Hidalgo.

Lima gegelung yang saling berkait itu berukuran 29 meter lebar dan 15 meter tinggi, dipasang pada ketinggian 60 meter di antara tingkat pertama dan kedua di bahagian Menara Eiffel yang menghadap Sungai Seine. Setiap gegelung mempunyai diameter sembilan meter.

--BERNAMA-dpa

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan