DUNIA > BERITA

Adele Sahkan Pertunangan Di Hadapan Peminat Di Jerman

10/08/2024 02:00 PM

LONDON, 10 Ogos (Bernama-dpa) -- Penyanyi terkenal Britain, Adele mengesahkan pertunangannya dengan ejen sukan Amerika, Rich Paul kepada peminatnya semasa membuat persembahan di Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Penyanyi yang berusia 36 tahun itu sebelum ini mendedahkan bahawa beliau sedang menjalin hubungan dengan pengasas syarikat pengurusan Klutch Sports Group, yang mewakili bintang-bintang bola keranjang terkenal seperti LeBron James, Anthony Davis dan John Wall.

Dalam sebuah video yang tular di media sosial ketika konsertnya di Munich, Adele kelihatan menyedari seseorang membawa papan tanda yang tertulis "Will you marry me?" (Adakah awak akan berkahwin dengan saya?).

"Saya tak boleh kahwin dengan awak kerana saya sudah nak berkahwin, tapi saya hargainya, terima kasih," katanya.

Adele turut mempamerkan apa yang kelihatan seperti cincin pertunangan kepada penonton.

Pada April 2019, Adele mengumumkan perpisahan dengan bekas suaminya, ketua sebuah badan amal, Simon Konecki.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu berjudul "Someone Like You" itu mengadakan 10 konsert di Jerman bulan ini di sebuah arena khas yang mampu menampung  80,000 orang setiap malam.

Pemenang 16 kali Grammy itu mengumumkan pada Julai bahawa beliau akan "berehat panjang" daripada muzik selepas siri konsertnya yang akan datang.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan