EKONOMI > BERITA

Institusi Tempatan Beli Ekuiti Bersih RM1.19 Bilion Minggu Lepas - MIDF

12/08/2024 01:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Institusi tempatan melakukan pembelian minggu lepas, dengan pembelian bersih ekuiti bernilai RM1.19 bilion di Bursa Malaysia, kata MIDF Research.

Unit MIDF Amanah Investment Bank itu berkata institusi tempatan menjadi pembeli bersih setiap hari pada minggu dagangan berakhir 9 Ogos, dengan mencatatkan belian bersih terbesar pada Isnin sebanyak RM545.8 juta.

“Ini merupakan belian bersih terbesar dalam tempoh sehari sejak 2018, apabila mereka melakukan belian bersih RM846.3 juta pada 6 Februari,” katanya menerusi laporan aliran dana mingguan pada Isnin.

MIDF Research berkata pergerakan yang tidak menentu di Wall Street memberikan impak kepada Malaysia, menyaksikan pelabur asing menjual bersih sebanyak RM768.4 juta.

“Mereka menjual ekuiti bersih di Bursa Malaysia setiap hari pada minggu lepas, dengan aliran keluar bersih terbesar pada Isnin dan Khamis, masing-masing pada RM336.1 juta dan RM226.7 juta,” katanya.

Hanya tiga sektor yang mencatatkan belian bersih daripada pelabur asing minggu lepas, iaitu telekomunikasi dan media (RM10.0 juta), penjagaan kesihatan (RM8.6 juta) dan perladangan (RM7.1 juta).

"Tiga sektor teratas yang merekodkan jualan bersih daripada pelabur asing pula adalah produk dan perkhidmatan pengguna (-RM151.8 juta), hartanah (-RM149.5 juta) dan teknologi (-RM120.2 juta)," katanya.

Sementara itu, peruncit tempatan menjual bersih RM424.6 juta minggu lepas, merekodkan jualan bersih terbesar mencecah RM209.7 juta pada Isnin, kata MIDF Research.

Jumlah dagangan harian purata (ADTV) menyaksikan peningkatan dalam semua kelas pelabur. 

ADTV pelabur asing mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 47.4 peratus, diikuti peruncit tempatan pada 47.3 peratus dan pelabur institusi tempatan iaitu 37.7 peratus, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan