DUNIA > BERITA

4,520 Anggota Polis Indonesia Kawal Keselamatan Lawatan Pope Francis Pada Sept

14/08/2024 06:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 14 Ogos (Bernama) -- Polis Indonesia bersedia mengerahkan 4,520 anggota bagi memastikan keselamatan lawatan Pope Francis ke negara itu dari 3 hingga 6 Sept.

Pope, pemimpin spiritual Gereja Roman Katolik dan ketua negara Vatican City, akan diberi kawalan keselamatan yang ketat sepanjang lawatannya.

Operasi yang akan berlangsung dari 2 Sept hingga 7 Sept ini akan menyaksikan penglibatan 1,077 anggota dari Ibu Pejabat Polis Negara dan 3,443 dari Polis Jakarta.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, ketua maklumat awam, Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko berkata: "Kami akan memastikan keselamatan setiap aspek lawatan ini termasuk aktiviti praacara, semasa dan selepas acara."

Pope Francis dijangka tiba di Jakarta pada petang 3 Sept dan akan bertemu dengan Presiden Joko Widodo di Istana Merdeka pada hari berikutnya.

Pada 5 Sept, beliau akan mengambil bahagian dalam pertemuan antara agama di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara dan kemudian bertemu penerima bantuan daripada pertubuhan amal di pejabat Persidangan Uskup Indonesia.

Pada malam itu, Pope akan memimpin Misa besar di Stadium Gelora Bung Karno, yang dijangka menarik puluhan ribu penganut Katolik.

Polis juga akan mengawasi keselamatan untuk Forum Kelestarian Antarabangsa, yang berlangsung dari 4 hingga 6 Sept.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan