DUNIA > BERITA

Pakatan Parti Pemerintah Thailand Calonkan Paetongtarn Sebagai Calon PM

15/08/2024 10:56 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 15 Ogos (Bernama) -- Pakatan parti pemerintah Thailand bersetuju untuk mencalonkan Paetongtarn Shinawatra sebagai calon perdana menteri menjelang pengundian di parlimen pada Jumaat.  

Paetongtarn, 37, merupakan Ketua Parti Pheu Thai, parti terbesar dalam pakatan pemerintah dan anak kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Beliau akan dicalonkan untuk jawatan itu pada sesi parlimen khas untuk memilih perdana menteri baharu selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Srettha Thavisin pada Rabu.

Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thienthong, mengumumkan Paetongtarn sebagai calon pada sidang akhbar selepas mesyuarat wakil-wakil parti dalam pakatan itu pada Khamis.

“Hari ini, bagi pihak Parti Pheu Thai dan parti-parti dalam pakatan, kami semua bersetuju untuk mencalonkan Paetongtarn Shinawatra,” katanya.

Sementara itu, Paetongtarn mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa eksekutif Parti Pheu Thai dan ahlinya atas pencalonan itu.

“Saya akan melakukan yang terbaik dan menunggu keputusan rasmi undian esok. Kami semua mengagumi kerja Srettha dan berasa kesal atas kejadian yang tidak dijangka ini.

Srettha, yang saya hormati dan kagumi malah sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, adalah seorang yang tekun dan berdedikasi terhadap tugasnya. Bagaimanapun, negara perlu bergerak ke hadapan. Parti Pheu Thai adalah parti utama yang membentuk kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata parti-parti dalam pakatan bersedia untuk memajukan negara dan menyatakan keyakinan bahawa Parti Pheu Thai serta semua rakan gabungan akan membawa negara keluar daripada krisis ekonomi.

“Kami berkumpul hari ini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kami mempunyai tekad, komitmen, dan kesediaan untuk memajukan negara,” katanya.

Perlembagaan Thailand menetapkan bahawa untuk menjadi perdana menteri, calon perlu mendapat sokongan majoriti daripada 493 ahli parlimen sedia ada, iaitu sebanyak 248 undi atau lebih mesti diperoleh.

Daripada jumlah keseluruhan 500 kerusi parlimen, enam Ahli Parlimen Parti Move Forward (MFP) telah diharamkan daripada berkhidmat selepas parti itu dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan minggu lepas, manakala Ahli Parlimen Nakhon Si Thammarat digantung kerana terlibat dalam pembelian undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan