DUNIA > BERITA

Taufan Ampil: Rakyat Malaysia Di Kanto Dan Kawasan Sekitar Dinasihat Berwaspada

16/08/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengeluarkan nasihat agar semua rakyat Malaysia di wilayah Kanto terus berwaspada ketika Taufan Ampil semakin hampir.

Kedutaan dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, menekankan potensi risiko yang dicetuskan oleh taufan Ampil, yang dijangka membawa hujan lebat dan angin kencang.

“Kedutaan Malaysia menggesa semua yang berada di Pulau Izu, wilayah Kanto dan Tohoku untuk berhati-hati dan terus berwaspada, terutamanya dalam keadaan angin kencang, ombak besar, tanah runtuh, hujan lebat atau banjir yang mungkin berlaku dari Jumaat hingga Sabtu ini,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia juga digalakkan mengikuti perkembangan berita tempatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa Jepun.

Warganegara Malaysia turut dinasihatkan agar tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu dan memastikan semua langkah keselamatan diambil, menurut kenyataan itu.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan melalui nombor telefon di +81-3-3476-3840 pada waktu pejabat atau +81-80-4322-3366 untuk kecemasan, atau melalui emel di consular.tyo@kln.gov.my.

Kedutaan sedang memantau situasi dengan teliti dan akan menyalurkan maklumat terkini jika perlu.

Laporan antarabangsa menunjukkan bahawa penduduk di beberapa bahagian di Jepun dinasihatkan untuk berpindah, dengan beberapa kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik pada Jumaat.

Ribut yang berada 121 batu nautika tenggara Yokosuka, meningkat kepada kekuatan setara dengan taufan kategori empat, dengan angin mencecah sehingga 212 kilometer sejam (131 mph) ketika ia menuju ke utara pada kelajuan 18 kph (11 mph), menurut Pusat Amaran Taufan Bersama (JTWC).

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan