AM > BERITA

Pelarasan Gaji Dorong Penjawat Awam Lebih Komited, Berintergriti Laksana Tugas

16/08/2024 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan kerajaan hari ini akan menyuntik semangat penjawat awam untuk melaksanakan tugas dengan lebih rajin dan berintegriti.

Pelarasan gaji itu juga disifatkan satu penghargaan kepada penjawat awam yang telah banyak menyumbang khidmat kepada negara.

Di KELANTAN, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata langkah pelarasan gaji itu bertepatan dengan kesukaran dialami masyarakat ketika ini yang berdepan kenaikan kos sara hidup.

“Kita ucap terima kasih atas inisiatif ini yang pastinya sedikit sebanyak akan memberi kelegaan kepada kelompok yang menerimanya.

"Kita harap ada juga kaedah tuntas lain akan difikirkan untuk mengurangkan beban ditanggung masyarakat awam yang tidak mempunyai gaji tetap dan semua lapisan rakyat lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di PERLIS, Setiausaha Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Rozita Osman berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana setelah 20 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, ini ialah kenaikan tertinggi pernah dinikmatinya.

“Alhamdulillah, ini merupakan suntikan motivasi kepada kami (penjawat awam) untuk meningkatkan keupayaan diri supaya menjadi lebih berbakat pada masa depan dengan berpegang kepada integriti,” katanya kepada pemberita selepas menonton siaran langsung Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 yang disampaikan Perdana Menteri di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis hari ini.

Bagi Penolong Pegawai Tadbir, Unit Komunikasi Korporat di Pejabat SUK Mohd Khairul Ishak pula, beliau bertekad untuk bekerja lebih komited dan berdedikasi selepas ini dengan menekankan pada ketepatan masa, berdisiplin dan meningkatkan keupayaan berkomunikasi.

Pada majlis itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan Fasa 2 pada 1 Jan 2026.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan