DUNIA > BERITA

Warga Malaysia Di Thailand Perlu Semat Jiwa Merdeka - Duta Besar

19/08/2024 02:49 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 19 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menetap di Thailand perlu menyematkan jiwa merdeka dalam diri bagi memastikan semangat kebebasan dan cintakan tanah air terus hidup selaras dengan tema kemerdekaan tahun ini “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata menyambut Hari Kebangsaan di luar negara merupakan suatu pengalaman unik yang amat menyentuh hati dan sangat bermakna.

"Saya juga berharap supaya rakyat Malaysia di Thailand dapat menyematkan jiwa merdeka dalam diri setiap individu, memastikan semangat kebebasan dan cintakan tanah air terus hidup dan berkembang sekali gus menjadikan ia sebagai satu hari yang menyediakan Malaysia ke arah masa depan lebih sejahtera," katanya kepada Bernama.

Samuel berkata setiap tahun, pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok akan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan dan mewujudkan suasana sambutan kemerdekaan kepada warga Malaysia di perantauan.

Beliau berkata pelbagai program dan aktiviti dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan negara supaya rakyat Malaysia di Thailand dapat menghayati erti kemerdekaan dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

"Kesemua program yang dianjurkan telah memberikan impak yang sangat memberangsangkan apabila kita dapat melihat perpaduan, semangat kekitaan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia di Thailand," katanya.

Tambahnya, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia menetap di negara gajah putih itu.

Samuel berkata antara aktiviti yang disusun adalah sambutan Hari Kebangsaan 2024 bersama Diaspora Malaysia pada 31 Ogos, Paparan LED Bendera dan Pesanan Hari Kebangsaan di Siam Paragon, Baiyoke Tower II dan Central World pada 31 Ogos, Resepsi Hari Kebangsaan 2024 pada 12 Sept dan Merdeka Games 2024, acara sukan anjuran bersama Kelab Malaysia Thailand sepanjang bulan Ogos dan September.

"Aktiviti berkenaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara rakyat Malaysia dan kakitangan Kedutaan Besar Malaysia," katanya.

Beliau berkata pejabat Kedutaan juga dihiasi dengan Jalur Gemilang agar mencerminkan suasana kemerdekaan Malaysia kepada tetamu yang hadir ke pejabat dan juga memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan petugas.

Di Malaysia, sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Putrajaya dengan perarakan akan bermula dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menuju ke Masjid Putra di Putrajaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan