DUNIA > BERITA

7 Hilang, 15 Diselamatkan Insiden Kapal Layar Karam Di Itali

19/08/2024 06:23 PM

ROM, 19 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Seramai 15 orang terselamat manakala tujuh lagi dilaporkan hilang selepas sebuah kapal layar mewah karam pada Isnin dalam kejadian di selatan Itali, lapor Agensi Anadolu.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku kira-kira 5 pagi waktu tempatan (0300GMT) apabila bot sepanjang 56 meter (184 kaki) itu tenggelam ketika cuaca buruk di luar pantai Porticello, 20 kilometer timur Palermo.

Mereka yang berada di atas kapal layar mewah itu berasal dari United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan Kanada.

Seorang kanak-kanak berusia satu tahun adalah antara yang diselamatkan dan telah dibawa ke hospital kanak-kanak di Palermo untuk rawatan.

Jabatan bomba Itali dalam satu kenyataan memaklumkan pengawal pantai dan bomba berjaya menyelamatkan 15 orang, dan usaha mengesan tujuh lagi mangsa sedang dijalankan.

Menurut bomba, bot yang didaftarkan di Britain itu tenggelam pada kedalaman 49 meter dan sebuah helikopter turut membantu dalam operasi menyelamat.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan