Jenazah Istiqomah Selamat Dikebumikan Di Pasir Mas

20/08/2024 12:27 AM

PASIR MAS, 19 Ogos (Bernama) -- Jenazah guru Istiqomah Ahmad Rozi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas di sini pada 11.50 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Melaka dibawa ke kediamannya di Kampung Kubang Badak untuk disolatkan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri anggota keluarga, saudara-mara, rakan dan penduduk kampung.

Adik Allahyarham, Muhammad Irfan Ahmad Rozi, 31, berkata jenazah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan bagi menunaikan hasrat Allahyarham Istiqomah sebelum ini yang mahu pulang ke kampung.

Menurutnya, dia kali terakhir menemui kakaknya itu ketika Hari Keluarga di Pantai Morib, Kuala Selangor pada 24 dan 25 Dis tahun lepas.

"Kami hanya dua beradik, sangat rapat dan arwah sangat gembira ketika berkumpul memandangkan dia tidak sempat balik bercuti pada Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

"Saya masih teringat lambaian terakhir dan kata-kata kak long yang untuk berjumpa semula pada Hari Raya akan datang, namun hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Bapa saudara Allahyarham, Sukiman Ya, 53, berkata Istiqomah ialah seorang yang pendiam dan serius, tetapi mempunyai tingkah laku yang baik.

"Saya jaga arwah sejak kecil, bawa naik basikal dan hantar ke sekolah, sebab itu saya sangat sedih sebaik diberitahu mengenai kematiannya,” katanya.

Istiqomah, 33, dilaporkan hilang di Kota Masai, Johor pada 27 Dis 2023 sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tragis di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Dis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan