DUNIA > BERITA

Indonesia Lancar Kelab Pelaburan Pelancongan Baharu

20/08/2024 01:42 PM

JAKARTA, 20 Ogos (Bernama) -- Indonesia melancarkan Indonesia Tourism Investor Club (ITIC), satu inisiatif baharu yang direka untuk meningkatkan komunikasi antara pelabur, penggubal dasar dan pihak berkuasa tempatan.

Pengasasnya, Teguh Anantawikrama dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, ITIC akan menawarkan akses analisis pasaran, trend pelaburan dan maklumat terkini mengenai peluang dalam sektor itu kepada ahli-ahlinya.

Kelab ini ditubuhkan sebagai respons kepada maklum balas daripada Forum Pelaburan Pelancongan Indonesia (ITIF) yang meminta platform komunikasi yang lebih teratur dan berfokus.

“Mesyuarat ini adalah penting bagi pelabur yang memerlukan maklumat terkini mengenai ekonomi dan projek pelancongan baharu.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan sebuah kelab yang, walaupun eksklusif, akan sentiasa mengemas kini ahli-ahli mengenai perkembangan pelaburan serantau dan projek-projek baharu,” katanya.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Salahuddin Uno memuji ITIC sebagai alat yang bernilai untuk menghubungkan pelabur dalam sektor pelancongan.

“Inisiatif ini mendorong pemikiran inovatif untuk meningkatkan pelaburan dan memenuhi keperluan pelaburan kita,” katanya semasa taklimat mingguan di kementerian pada Isnin.

Pada separuh pertama 2024, pelaburan pelancongan Indonesia berjumlah IDR 23.71 trilion, iaitu kira-kira US$1.58 bilion, dengan 61 peratus daripadanya hasil pelabur asing, termasuk dari Singapura, India, dan Australia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan