DUNIA > BERITA

China, Rusia Sedia Tingkat Kerjasama Saling Menguntungkan Dalam Seluruh Aspek

22/08/2024 12:38 PM

MOSCOW, 22 Ogos (Bernama-CMG) -- China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, mengekalkan momentum perkembangan hubungan dua hala yang baik, selain terus mengintensifkan kerjasama yang saling menguntungkan secara menyeluruh hingga membuahkan lebih banyak hasil pragmatik.

Demikian ujar Perdana Menteri China Li Qiang ketika bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin di Istana Kremlin pada Rabu.

Li berkata revolusi sains dan teknologi serta transformasi perindustrian pusingan baharu ketika ini kian diperdalam, dan ia akan menawarkan banyak peluang pembangunan yang besar.

"China bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor baharu muncul, mengutamakan kerjasama berorientasikan inovasi sains dan teknologi serta perindustrian demi memupuk titik pertumbuhan yang baharu.

"Kedua-dua negara harus mempergiat pertukaran dan kerjasama dalam kebudayaan dan pelancongan, pendidikan, belia, dan kawasan tempatan, selain mengukuhkan lagi penyelarasan pelbagai hala, memperdalam kesalingpercayaan dan kerjasama dengan negara membangun, dan dengan tegas mempromosikan dunia multipolar dan globalisasi ekonomi," kata Li.

Putin pula menyatakan bahawa Rusia bersedia untuk mempergiat kerjasama yang saling menguntungkan dengan China, mengintensifkan pertukaran lawatan dalam kalangan rakyat, merapatkan komunikasi dan penyelarasan dalam mekanisme pelbagai hala, dan menggalakkan hubungan perkongsian strategik komprehensif bagi koordinasi Rusia-China pada era baharu mencapai kemajuan lebih besar.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan