DUNIA > BERITA

Pemimpin Industri Bakal Berhimpun Di Persidangan Pelancongan Islam Dunia Keempat Di Malaysia

22/08/2024 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Lebih 40 pakar tempatan dan antarabangsa dijangka menyampaikan ucapan pada Persidangan Pelancongan Islam Dunia (WITC) kali keempat yang bakal berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Malaysia pada 12 dan 13 September.

Persidangan ini bakal menjadi perhimpunan utama dalam sektor pelancongan Islam.

Bertemakan "Forging Connections," WITC 2024 bertujuan membantu peserta mengetahui perkembangan terkini dalam pasaran pelancongan Muslim, menurut kenyataan yang dikongsi dengan Bernama pada Khamis.

Persidangan itu merangkumi empat landasan utama iaitu Memahami Pelancong Muslim, Perjalanan dan Komuniti Mesra Muslim, Pertumbuhan dan Peluang, serta Keterangkuman yang direka untuk menyediakan peserta dengan pengetahuan yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan, mencipta produk yang lebih menarik dan menangani pelbagai cabaran industri.

Antara penceramah utama, Omar DaCosta Shahid seorang pakar mengenai kandungan berkaitan Muslim dan pemasaran pempengaruh, diiktiraf dalam Forbes 30 under 30 dan antara 100 Muslim British paling berpengaruh.

Beliau dijangka menyampaikan ucaptama bertajuk "Bridging the Non-mainstream, Mainstream: Connecting Across Boundaries," dan beliau akan menjelaskan bagaimana mengintegrasikan iman dan perniagaan dalam pemasaran.

Persidangan ini juga akan menampilkan beberapa sesi perbincangan panel, menurut kenyataan itu.

Pengarah Lembaga Pelancongan Sepanyol, Marta Fernández Martín juga dijangka mengambil bahagian dalam segmen bertajuk "Promoting Islamic Heritage as a Driver for Tourism," dan beliau akan membincangkan strategi Sepanyol untuk menonjolkan warisan Islam bagi menarik pelancong.

Selain itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hospitaliti Sunway, Alex Castaldi akan berkongsi pandangan tentang kepentingan piawaian dan pensijilan dalam membina ekosistem Pelancongan Islam yang kukuh dalam panel bertajuk " Standards: The Key to Winning Over Muslim Tourists."

Para profesional industri, termasuk pengusaha hotel, syarikat penerbangan, pengusaha restoran, dan pemilik produk pelancongan digalakkan untuk mendaftar awal bagi menikmati diskaun 50 peratus bagi penyertaan awal, sah sehingga 31 Ogos.

Maklumat pendaftaran boleh didapati di https://form.evenesis.com/WITC2024, dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dihantar ke comms@itc.gov.my.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan