DUNIA > BERITA

Mahkamah Agung Venezuela Sahkan Maduro Menang Dalam Pilihan Raya

23/08/2024 11:21 AM

BUENOS AIRES, 23 Ogos (Bernama-dpa) -- Mahkamah Agung Venezuela pada Khamis mengesahkan kemenangan Presiden Nicolás Maduro dalam pilihan raya pada 28 Julai lalu.

Suruhanjaya pilihan raya secara rasmi mengumumkan kemenangan Maduro, yang memegang jawatan itu sejak 2013.

Namun, keputusan terperinci bagi setiap daerah pengundian masih belum dikeluarkan.

“Mahkamah Agung telah meneliti dokumen pilihan raya dan bersetuju bahawa Maduro memenangi pilihan raya itu,” kata Ketua Hakim Caryslia Rodriguez.

Beliau menegaskan bahawa keputusan itu tidak boleh dirayu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sementara itu, pihak pembangkang menuduh kerajaan melakukan penipuan pilihan raya dan mendakwa kemenangan berpihak kepada calon mereka, Edmundo González.

González dalam satu hantaran di platform media sosial X mendakwa bahawa keputusan mahkamah adalah tidak sah dan kedaulatan terletak pada rakyat dan tidak boleh dipindah milik.

Sebuah kumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menulis dalam laporan awal bahawa pilihan raya itu tidak memenuhi "langkah-langkah integriti dan ketelusan" yang diperlukan untuk dianggap boleh dipercayai.

-- BERNAMA-dpa

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan