Keputusan Berhubung Representasi Rosmah Untuk Gugurkan Pertuduhan Diketahui 6 Sept

23/08/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Keputusan berhubung representasi ketiga yang dikemukakan oleh isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 17 pertuduhan yang dihadapinya, akan diketahui pada 6 Sept.

Dua belas daripada pertuduhan itu berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan lebih RM7 juta, manakala lima lagi pertuduhan berkaitan kegagalannya mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu hakim perbicaraan K. Muniandy bahawa satu persetujuan telah dicapai berhubung representasi yang dihantar oleh anak guamnya itu, dan kini hanya menunggu kertas kerja untuk dimuktamadkan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam responsnya mengesahkan bahawa representasi itu sudah hampir dimuktamadkan.

"Ia hanya menunggu dokumentasi sebelum kita boleh teruskan dengan perintah mahkamah,” katanya.

Muniandy kemudian menetapkan 6 Sept bagi kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan muktamad.

Ini merupakan representasi ketiga yang dihantar oleh Rosmah, 72. Representasi pertama dan keduanya dihantar masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas, namun ia masih belum diputuskan oleh AGC.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menfailkan pernohonan untuk dibebas dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan itu pada 4 Okt 2020.

Rosmah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Setakat ini dua saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan, yang bermula pada 24 Ogos tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan