DUNIA > BERITA

Hospital Gaza Utamakan Wanita, Kanak-kanak Susulan Bekalan Perubatan Kritikal

23/08/2024 12:46 PM

GAZA CITY, (Bernama-Anadolu) -- Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza pada Khamis memaklumkan bahawa kekurangan bekalan perubatan yang serius akibat perang dan sekatan yang berterusan memaksa hospital untuk mengutamakan rawatan bagi wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.

“Sebagai petugas perubatan, dengan kekurangan bekalan perubatan di jabatan kecemasan, kami kini menumpukan perhatian kepada menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan wanita untuk memastikan kelangsungan generasi Palestin di Gaza.

“Kami merayu masyarakat antarabangsa untuk mendesak pendudukan (Israel) agar membenarkan kemasukan bekalan perubatan yang sangat diperlukan,” kata jurucakap hospital Muhammad Saqr, pada satu sidang media.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, bekalan ubat-ubatan penting dan peralatan perubatan telah kehabisan disebabkan oleh penutupan lintasan sempadan Rafah dan Kerem Shalom oleh Israel.

Pada masa ini, hanya sejumlah kecil bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa dibenarkan masuk ke Gaza dan jumlah itu tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk yang berdepan dengan krisis kemanusiaan dan kesihatan.

Israel terus melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mendesak gencatan senjata segera.

Serangan itu mengorbankan lebih 40,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 93,000 orang, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Sekatan berterusan ke atas Gaza mengakibatkan wilayah itu berdepan masalah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan dan sebahagian besar kawasan musnah.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan