DUNIA > BERITA

Pertumbuhan Rantau APEC Diunjur Kekal Catat Pertumbuhan 3.5 Peratus Dalam Persekitaran Ketidaktentuan

26/08/2024 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diunjurkan berkembang sebanyak 3.5 peratus pada 2024, menunjukkan daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan dan cabaran yang berterusan.

Menurut laporan APEC Regional Trends Analysis (Analisis Trend Serantau APEC) pada Ogos, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau berkenaan untuk 2024 adalah konsisten dengan kadar pertumbuhan yang dicatatkan pada 2023.

Bagaimanapun, penurunan sedikit dijangkakan untuk 2025 dengan pertumbuhan dijangka berkurangan kepada 3.1 peratus, menandakan peningkatan daripada unjuran awal pada Mei sebanyak 2.9 peratus.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC Carlos Kuriyama berkata walaupun kadar pertumbuhan mungkin berbeza di seluruh rantau ini, komitmen kolektif untuk mengawal inflasi dan menerima pakai dasar monetari berhemat adalah penting.

"Pertumbuhan kukuh kita saksikan di seluruh rantau APEC walaupun terdapat ketidaktentuan global adalah bukti kepada daya tahan dan kebolehsesuaian ekonomi kita.

“Dalam mengharungi cabaran yang kompleks, komitmen APEC terhadap dasar ekonomi kukuh dan kerjasama serantau akan menjadi kritikal dalam mengekalkan momentum ini dan memupuk kemakmuran jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ekonomi APEC telah menyaksikan kejayaan ketara dalam menyederhanakan inflasi dengan kadar inflasi purata menurun kepada 2.8 peratus pada Jun 2024, turun daripada 5.9 peratus pada Januari 2023.

Pengurangan ini menekankan keberkesanan dasar monetari yang dilaksanakan di seluruh rantau ini, kata laporan itu.

Sementara itu, prestasi perdagangan dalam rantau APEC berkembang dengan eksport barangan pada suku pertama 2024 meningkat sebanyak 3.9 peratus dalam volum dan 1.6 peratus dalam nilai berbanding tempoh sama pada 2023.

Laporan itu juga menekankan bahawa rantau ini sedang bergelut dengan ketegangan perdagangan, yang telah membawa kepada peningkatan ketara dalam sekatan dan remedi perdagangan seperti anti-lambakan dan duti timbal balas.

Gangguan dalam rantaian bekalan yang berterusan juga telah meningkatkan kos dan masa mengangkut barangan merentasi sempadan, memberikan tekanan tambahan pada harga, katanya.

Sehubungan itu, laporan itu mencadangkan bahawa dasar ekonomi strategik dan kerjasama antarabangsa dijangka memainkan peranan penting dalam menangani isu tersebut.

Negara anggota APEC digalakkan untuk menyesuaikan dasar monetari dengan berhati-hati, membina semula penampan fiskal, dan meneroka alternatif dasar yang meningkatkan hubungan perdagangan tanpa menyekat perdagangan dan pelaburan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan