DUNIA > BERITA

WHO Lancar Pelan Strategik Global Bendung Wabak Mpox

27/08/2024 11:00 AM

GENEVA, 27 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin melancarkan usaha global untuk menangani penularan mpox daripada manusia kepada manusia.

Pelan Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Strategik akan bermula dari September 2024 hingga Februari 2025, memerlukan pembiayaan sebanyak US$135 juta. 

Dengan menyelaraskan usaha global, serantau dan nasional, pelan itu bertujuan untuk meningkatkan strategi pengawasan dan tindak balas, memastikan akses saksama kepada diagnostik dan vaksin, mengurangkan penularan haiwan ke manusia, serta memperkasakan komuniti dalam mengawal wabak, lapor Xinhua.

Pelan vaksinasi itu menyasarkan golongan paling berisiko seperti kontak rapat kes dan pekerja kesihatan untuk memutuskan rantaian penularan. 

Selain itu, pelan berkenaan akan memberi tumpuan kepada kepimpinan dan bimbingan strategik, serta memastikan akses kepada rawatan perubatan bagi kumpulan paling berisiko di negara terjejas.

"Wabak mpox di Republik Demokratik Congo dan negara jiran boleh dikawal dan boleh dihentikan," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurut kenyataan WHO, rayuan pembiayaan akan dilancarkan tidak lama lagi.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan