DUNIA > BERITA

Malaysia, Singapura Destinasi Pelaburan Sepadu Di JS-SEZ - Pesuruhjaya Tinggi

30/08/2024 03:27 PM

SINGAPURA, 30 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Singapura sebagai destinasi pelaburan sepadu di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menawarkan pangkalan serantau stabil dan berdaya tahan untuk perniagaan, khususnya dalam senario ketegangan geopolitik yang kian meruncing.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata sinergi dan sifat saling melengkapi kedua-dua negara yang dinamik itu juga ketara selain berpotensi besar dalam menangani gangguan luar.

“Hubungan antara Malaysia dan Singapura adalah (bukti) saling melengkapi yang unik dan menawarkan perniagaan dengan manfaat daripada kedua-dua negara.

“Jika Singapura cemerlang sebagai hab kewangan global dengan prasarana bertaraf dunia, Malaysia pula menawarkan ruang, sumber dan kecekapan kos yang diperlukan bagi tujuan operasi serta pengeluaran berskala besar,” katanya pada sesi Malaysia Breakout di Persidangan ASEAN 2024 di sini, pada Khamis.

Bertemakan ‘Reimagining ASEAN for a Sustainable Tomorrow,’ persidangan itu dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) bagi mengenal pasti trend baharu selain meninjau kaedah untuk perniagaan memanfaatkan sumber baharu untuk memacu fasa pertumbuhan selanjutnya.

Azfar juga menyifatkan Malaysia ketara sebagai destinasi pelaburan bersandarkan beberapa faktor, termasuk kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara yang menyediakan akses langsung ke beberapa pasaran paling pesat berkembang di dunia.

Di samping itu, kerajaan turut komited untuk mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dengan menawarkan insentif cukai yang kompetitif, kemudahan menjalankan perniagaan dan infrastruktur moden serta memudah cara syarikat untuk beroperasi berbanding hab serantau lain.

“Tidak kiralah sama ada aspek tanah, tenaga kerja atau kos operasi, Malaysia menawarkan nilai dan skala yang mengupayakan syarikat dari segi kemampuan untuk berkembang dengan pesat,” katanya.

Azfar berkata Malaysia juga berusaha memainkan peranan dalam memacu ekonomi hijau dan digital ASEAN bagi melonjakkan aspek kemampanan di serata rantau itu.

Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga pada 2023 dan komitmen padu bagi pelepasan karbon sifar bersih, juga membolehkan Malaysia menjadi hab untuk industri-industri mampan.

“Sama ada ianya tenaga boleh baharu, pembuatan hijau atau infrastruktur mesra alam, kita meletakkan asas bagi masa depan lebih hijau yang dapat menarik perniagaan serta seiring dengan matlamat kemampanan global.

“Oleh itu, dengan melabur di Malaysia, syarikat-syarikat boleh menjadi sebahagian daripada revolusi hijau berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan