DUNIA > BERITA

Angkasawan Misi Angkasa Lepas Swasta Polaris Dawn Kembali Ke Bumi

15/09/2024 07:05 PM

WASHINGTON, 15 Sept (Bernama-dpa) -- Angkasawan dalam misi angkasa lepas swasta Polaris Dawn yang mencipta sejarah telah mendarat berhampiran hujung selatan Florida awal Ahad, selepas perjalanan lima hari yang termasuk aktiviti berjalan di angkasa komersial pertama di dunia, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kapsul SpaceX Crew Dragon yang membawa empat angkasawan itu mendarat di Teluk Mexico sekitar pukul 3.30 pagi (0730 GMT), menurut pengawal misi.

Jutawan usahawan teknologi Jared Isaacman mengetuai penerbangan dicarter itu, dengan kerjasama pengasas SpaceX Elon Musk yang kekal berada di darat.

Isaacman, bersama angkasawan swasta Scott "Kidd" Poteet, Sarah Gillis dan Anna Menon, berlepas menaiki kapal angkasa Crew Dragon dengan roket Falcon 9 dari Tanjung Canaveral di Florida pada Selasa.

Crew Dragon naik ke ketinggian kira-kira 1,400 kilometer - lebih tinggi daripada mana-mana penerbangan dengan anak kapal sejak misi ke bulan Apollo pada awal 1970-an dan lebih tiga kali ganda ketinggian Stesen Angkasa Antarabangsa.

Bahagian paling berisiko dalam usaha itu berlaku pada Khamis, apabila Isaacman diikuti oleh Gillis, melakukan aktiviti berjalan di angkasa komersial pertama di dunia.

Angkasawan amatur itu tidak terapung bebas di angkasa semasa aktiviti berkenaan yang berlangsung kira-kira 20 minit bagi kedua-dua Isaacman dan Gillis. Mereka kekal berpegang pada tangga khas yang keluar dari kapsul.

Memandangkan Crew Dragon tidak mempunyai sendat udara seperti Stesen Angkasa Antarabangsa, keempat-empat kru—termasuk bekas juruterbang jet Poteet dan pekerja SpaceX, Menon - perlu memakai sut angkasa. Dengan pintu kapsul dibuka, mereka terdedah kepada vakum angkasa, dan tiada udara untuk bernafas dalam kabin.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan