DUNIA > BERITA

Sekurang-kurangnya 13 Terbunuh Dalam Letupan Di Stesen Minyak Rusia

28/09/2024 10:20 PM

MOSCOW, 28 Sept (Bernama-dpa) -- Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam letupan serius di sebuah stesen minyak di republik selatan Rusia, Dagestan pada petang Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa) yang memetik media Rusia.

Dua daripada mangsa yang terkorban adalah kanak-kanak, dan 11 orang cedera dalam letupan itu,  menurut agensi berita Rusia TASS yang memetik pihak berkuasa kesihatan wilayah berkenaan.

Hari ini, (Sabtu) diisytiharkan sebagai hari berkabung di Dagestan.

Punca letupan masih belum diketahui dan sedang disiasat. Bagaimanapun, faktor serangan telah diketepikan dan Jawatankuasa Siasatan Negara Rusia menyatakan tiada kesan bahan letupan ditemukan di lokasi kejadian.

Letupan itu berlaku di pinggir ibu kota wilayah, Makhachkala.

Stesen minyak terlibat mengalami kerosakan teruk dan pencemar daripada letupan dan kebakaran susulan diukur jauh melebihi had yang dibenarkan untuk jarak antara 300 hingga 500 meter, menurut pihak berkuasa.

Letupan serupa di stesen minyak pernah berlaku di Makhachkala pada Ogos 2023 yang mengakibatkan 37 orang terkorban dan 80 cedera.

Pemeriksaan stesen minyak di wilayah itu kemudiannya mendapati banyak pelanggaran keselamatan.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan