DUNIA > BERITA

Hubungan Uzbekistan-Malaysia Berperanan Sebagai Jambatan Strategik Antara Asia Tengah Dan Asia Tenggara

21/10/2024 01:36 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Duta Uzbekistan ke Malaysia Karomiddin Gadoev melahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia mampu berperanan sebagai jambatan strategik yang menghubungkan Asia Tengah dan Asia Tenggara berdasarkan kedudukan geografi kedua-dua negara.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Gadoev menekankan bahawa 2025 memberikan peluang yang ideal untuk meningkatkan hubungan itu apabila Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN.

"Malaysia adalah rakan strategik kami yang rapat dan mesra di Asia Tenggara, dan kedudukannya yang strategik dalam ASEAN boleh membantu mengukuhkan hubungan Uzbekistan dengan semua negara anggota ASEAN," katanya.

Gadoev yang turut menekankan persamaan budaya dan masyarakat antara kedua-dua negara berkata Uzbekistan berbangga mengalu-alukan kedatangan pemerhati Malaysia untuk pilihan raya Parlimen Dewan Perundangan Majlis Oliy yang akan berlangsung pada 27 Oktober ini.

Beliau menjelaskan bahawa lebih 500 pemerhati antarabangsa dan 150 wakil media dari 50 negara, termasuk Malaysia, akan terlibat dalam memerhati proses pilihan raya Uzbekistan. Delegasi Malaysia akan terdiri daripada enam pemerhati antarabangsa dan seorang wakil media dari Bernama.

Beliau seterusnya berkongsi bahawa pemerhati Malaysia kerap terlibat dalam proses pilihan raya Uzbekistan sejak 1999, termasuk pilihan raya Parlimen dan Presiden serta referendum Perlembagaan 2023 dan pilihan raya awal Presiden.

Mengenai rakyat Uzbekistan di Malaysia, Gadoev berkata bahawa 59 misi diplomatik Uzbekistan di seluruh dunia telah menyediakan pusat pengundian, termasuk Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur. 

Lebih 1,000 rakyat Uzbekistan, terutamanya pelajar dan profesional boleh menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dengan pengundian akan diadakan dari 8 pagi hingga 8 malam pada 27 Oktober manakala pengundian awal dibuka dari 16 Oktober hingga 23 Oktober.

Duta itu juga memaklumkan bahawa pengundian menerusi peti undi bergerak sedang diatur di negara yang mempunyai populasi rakyat Uzbekistan yang besar.

Pada 27 Oktober, kira-kira 20 juta pengundi yang layak di Uzbekistan akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih 150 timbalan kepada Dewan Perundangan, 56 ahli Dewan Negara, dan timbalan untuk majlis wilayah, daerah dan bandar.

Lima parti politik telah disahkan menyertai pemilihan, termasuk Movement of Entrepreneurs and Businesspeople - Parti Demokratik Liberal Uzbekistan (O’zLiDeP), Parti Demokratik “Milliy Tiklanish”, Parti Ekologi Uzbekistan, Parti Demokratik Rakyat, dan Parti Demokratik Sosial “Adolat”.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat Uzbekistan pada Mei tahun ini. Pada Julai, Menteri Luar Uzbekistan Bakhtiyor Saidov telah melakukan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai susulan kepada perbincangan sebelum ini.

Malaysia dan Uzbekistan telah memperkukuh hubungan mereka dengan semangat baharu tahun ini, dengan pertukaran lawatan dan penganjuran acara perniagaan bersama di Samarkand pada Mei.

Uzbekistan kini merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan pada 2023 mencecah RM451.1 juta (USD94.03 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan