DUNIA > BERITA

Kabinet Merah Putih Prabowo: Gabungan Muka Lama Dan Baharu Bagi Penggal 2024-2029

21/10/2024 03:33 PM

JAKARTA, 21 Okt (Bernama) -- Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto memperkenalkan anggota Kabinet yang terdiri daripada 48 anggota, gabungan muka lama daripada pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo dan pelantikan baharu.

Barisan jemaah menteri termasuk 18 daripada Kabinet Indonesia Maju Joko Widodo mengangkat sumpah dalam satu majlis di Istana Negara, Jakarta Pusat pada Isnin.

Kabinet yang dibentuk oleh Prabowo melebihi 34 menteri yang dilantik dalam pentadbiran Joko Widodo, dengan pelantikan strategik ini bertujuan menangani cabaran bagi penggal 2024–2029.

Antara menteri yang kembali menyertai Kabinet ialah Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto, Menteri Kewangan Sri Mulyani, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin, dan Menteri Tenaga serta Sumber Mineral Bahlil Lahadalia.

Pelantikan lain termasuk Zulkifli Hasan sebagai Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Makanan, Pratikno sebagai Menteri Penyelaras bagi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, dan Agus Harimurti Yudhoyono sebagai Menteri Penyelaras Infrastruktur.

Kabinet ini juga menampilkan muka baharu seperti Yusril Ihza Mahendra sebagai Menteri Undang-undang, Hak Asasi Manusia dan Imigresen; Muhaimin Iskandar sebagai Menteri Pemerkasaan Masyarakat; Sugiono sebagai Menteri Luar Negeri; Sjafrie Sjamsoeddin sebagai Menteri Pertahanan; dan Meutya Hafidz sebagai Menteri Komunikasi dan Digital.

Prabowo turut melantik lima pegawai setaraf menteri termasuk ST Burhanuddin sebagai Peguam Negara, Muhammad Herindra sebagai Ketua Badan Perisikan Negara, AM Putranto sebagai Ketua Staf Presiden, Hasan Nasbi sebagai Ketua Pejabat Komunikasi Presiden, dan Luhut Binsar Pandjaitan sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Negara.

Dalam majlis itu, Prabowo melafazkan ikrar: "Saya berjanji untuk melaksanakan tugas saya dengan penuh integriti, bekerja dengan tekun dan penuh rasa tanggungjawab," turut disusuli oleh menteri-menteri baharu.

Para menteri dan pegawai baharu akan bekerjasama dengan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka untuk berkhidmat kepada negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan