DUNIA > BERITA

UNIFIL Kekal Di Selatan Lubnan Di Sebalik Cabaran Semasa - Lazaro

22/10/2024 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan terus mengekalkan kedudukannya di selatan Lubnan walaupun berdepan cabaran dan tekanan yang berterusan, kata Ketua Misi dan Komander Pasukan, Aroldo Lazaro.

Ketegangan yang semakin memuncak serta pertempuran sengit yang berlaku baru-baru ini telah menguji ketahanan pasukan pengaman yang ditempatkan di kawasan terbabit, katanya dalam satu hantaran di platform X.

Dalam lawatannya ke dua kedudukan batalion Ireland, Lázaro memuji dedikasi serta ketabahan para anggota pengaman yang tidak berbelah bahagi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau menekankan bahawa moral yang tinggi dan komitmen mereka terhadap mandat UNIFIL amat penting untuk usaha mengekalkan keamanan di rantau itu.

"Pasukan pengaman kekal di semua posisi di selatan Lubnan, walaupun menghadapi cabaran dan tekanan yang besar.

"Saya amat berbangga dengan moral tinggi dan komitmen yang dipamerkan terhadap mandat UNIFIL," katanya.

UNIFIL, yang ditubuhkan pada 1978 berperanan memantau penghentian permusuhan dan menyokong kerajaan Lubnan dalam mengekalkan kestabilan di kawasan terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan