SAN JOSE (California, Amerika Syarikat), 1 Nov (Bernama-dpa) -- Pengeluar pesawat Amerika Syarikat, Boeing mengemukakan tawaran baharu yang lebih baik kepada ribuan pekerjanya, termasuk kenaikan gaji sebanyak 38 peratus dalam tempoh empat tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kesatuan sekerja Association of Machinists and Aerospace Workers (IAM) pada Khamis memaklumkan bahawa 33,000 ahlinya di Boeing akan diminta mengundi tawaran itu pada Isnin ini.
Tawaran baharu itu dibuat selepas mogok berlarutan selama tujuh minggu sejak 13 Sept lalu.
Minggu lalu, 94 peratus pekerjanya bertindak menolak tawaran kenaikan gaji 35 peratus selama empat tahun.
Pada pertengahan September, mereka menolak tawaran pertama Boeing, termasuk kenaikan gaji 25 peratus, dengan majoriti hampir 95 peratus.
Cadangan terbaru ini juga merangkumi bayaran sekali sahaja sebanyak US$12,000. Kesatuan berjaya berunding untuk mengekalkan bayaran bonus yang pada asalnya ingin dihapuskan sebagai sebahagian daripada tawaran kedua.
Mogok berkenaan telah melumpuhkan pengeluaran model 737 yang paling laris dan pesawat jarak jauh 777.
Syarikat tersebut kini menghadapi pelbagai isu dengan pesawatnya dan berdepan masalah kewangan besar. Pertikaian buruh ini menambahkan lagi tekanan kepada Boeing.
Pekerja Boeing melalui beberapa siri pembekuan gaji sepanjang dekad lalu dan kini menuntut kenaikan gaji yang ketara.
Boeing, yang mempunyai sekitar 170,000 pekerja baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 10 peratus daripada jumlah pekerjanya.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial