SHANGHAI, 4 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengundang Presiden China Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China pada tahun depan.
Undangan ini sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Perkara ini didedahkan Duta Malaysia ke Beijing Datuk Norman Muhamad dalam sidang media di sini Isnin (4 Nov) sempena lawatan Perdana Menteri ke China.
“Saya yakin Perdana Menteri memang akan ketengahkan Kepengerusian ASEAN kita. Itu amat penting dan mungkin Perdana Menteri akan menjemput Presiden Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan juga Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Campur China,” katanya.
Menurutnya, China memang melihat ASEAN sebagai satu pertubuhan yang penting untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau ini.
Perdana Menteri akan melawat Beijing selama dua hari bermula 6 Nov, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi.
“Saya rasa Perdana Menteri akan ambil kesempatan ini. Ini memang peluang terbaik sebab berdepan. Mungkin juga Perdana Menteri akan berjumpa Presiden Xi di tempat lain .. wadah lain.. di APEC, di G20 tapi yang ini bilateral. Jadi lebih elok,” katanya lagi.
Hubungan Dialog ASEAN-China bermula apabila Qian Qichen, Menteri Luar China yang menghadiri sesi pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-24 pada Julai 1991 di Kuala Lumpur sebagai tetamu Kerajaan Malaysia dan beliau menzahirkan minat mendalam China untuk bekerjasama dengan ASEAN untuk manfaat bersama.
Selepas itu, China diberikan status sebagai Rakan Dialog penuh pada AMM ke-29, Julai 1996 di Jakarta, menurut Kertas Maklumat Sekretariat ASEAN bertarikh 12 Jun 2024 yang boleh didapat di asean.org.
Hubungan antara ASEAN dan China diangkat kepada peringkat lebih tinggi dengan penandatanganan Deklarasi Bersama Ketua-Ketua Negara/Kerajaan mengenai Perkongsian Strategik untuk Keamanan dan Kemakmuran pada Sidang Kemuncak Ketujuh ASEAN-China, Oktober 2023 di Bali, Indonesia.
Sejak itu, ASEAN dan China telah melengkapkan tiga pelan tindakan bagi tempoh 2005-2010, 2011-2015, dan 2016-2020.
Pelan tindakan keempat (2021-2025) diterima pakai pada November 2020 oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN dan China, dengan satu tambahan pada pelan baharu itu diterima pakai pada Ogos 2022.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-21 untuk Memperingati Ulang Tahun ke-15 Perkongsian Strategik ASEAN-China pada 2018, pemimpin-pemimpin menerima pakai Wawasan Perkongsian Strategik 2030 yang menyasarkan untuk memajukan lagi Perkongsian Strategik ASEAN-China dan kerjasama yang lebih rapat.
Anwar ketika ini dalam rangka lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov 2024, atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Anwar tiba malam ini di Shanghai, perhentian pertamanya sebelum Beijing.
Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial